Johor negeri pertama mulakan sidang DUN hari ini

Sidang DUN Johor
Sidang DUN Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula hari ini, pastinya menarik perhatian ramai pihak memandangkan Johor menjadi negeri pertama mengadakan sidang dewan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bakal dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, persidangan kali ini penting dan mencuri tumpuan memandangkan negara masih berdepan dengan cabaran mengekang penularan pandemik Covid-19.

Persidangan akan bermula dengan titah dan perasmian oleh Sultan Ibrahim sebelum ditangguh dan bersambung Ahad ini.

Persidangan tujuh hari yang dijadual berakhir 22 Ogos itu dilihat sebagai platform penting bagi kerajaan negeri memperjelaskan mengenai pelan tindakan untuk pemulihan ekonomi negeri Johor selain bantuan yang diberikan kepada rakyat Johor yang terjejas berikutan Covid-19.

Johor merupakan negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

UMNO Johor menerajui kepimpinan negeri dengan 14 kerusi; diikuti Bersatu 12 kerusi termasuk DUN Gambir yang disandang Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; MIC (dua); dan Pas (satu) manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi; Amanah (enam); dan PKR (tujuh).

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat berkata setakat 4 Ogos, hanya satu usul berkenaan program vaksinasi kepada rakyat Johor diterima pihaknya.

Kali terakhir sidang DUN Johor diadakan pada 26 November hingga 6 Disember 2020, yang menyaksikan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad membentangkan Belanjawan Johor 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: