Ketua UMNO Sungai Petani dipanggil beri keterangan

Shahanim dipanggil beri keterangan di IPD Kuala Muda di sini pada Rabu berhubung status jelik di Facebook terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Shahanim dipanggil beri keterangan di IPD Kuala Muda di sini pada Rabu berhubung status jelik di Facebook terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dipanggil memberi keterangan berhubung status jelik di Facebook terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Shahanim mengakui dia dipanggil memberi keterangan pada petang Rabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berhubung satu komen mengkritik Menteri Besar Kedah di status Facebook miliknya.

Menurutnya, siasatan dilakukan terhadap komen tersebut bagaimanapun beliau sehingga kini masih tidak tahu apa asas untuk memanggil dirinya memberi kenyataan berhubung perkara itu.

"Namun, saya sebagai rakyat yang akur pada undang-undang tetap hadir untuk memberikan kerjasama namun persoalan yang ingin saya bangkitkan apakah kerajaan negeri Kedah ini tidak boleh dikritik.

"Saya tertanya-tanya sama ada tindakan itu merupakan satu dosa kepada rakyat yang ingin meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap sesuatu perkara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, dia yakin situasi ini hanya menyusahkan pihak berkuasa seperti polis kerana terpaksa menjalankan siasatan terhadap isu yang remeh sekiranya semua yang mengkritik pentadbiran kerajaan ditahan dan disiasat

"Ini kerana ada banyak lagi kes dan isu yang perlu disiasat dan diberi keutamaan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, hampir saban hari dan masa ada sahaja rakyat yang melahiran rasa tidak puas hari ekoran penularan wabak Covid-19 di Kedah yang boleh dilihat di laman media sosial pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, disebabkan itu, dia merayu agar semua pihak lebih prihatin terhadap nasib yang sedang melanda rakyat di negara ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, beliau mewakili UMNO Sungai Petani akan terus menyalurkan segala maklumat, keluhan rakyat dan isu-isu berbangkit kepada kerajaan khususnya menteri-menteri UMNO.

Petang tadi, perkara itu turut dikongsikan Shahanim di laman sosial Facebook yang turut memberitahu bahawa dia tidak memberi komen jelik, menghina ataupun makian terhadap Muhammad Sanusi.

“Saya tak komen jelik. Saya tak komen hina, saya tak maki MB Kedah pun. Saya hanya muat naik status jumlah kematian di Kuala Muda, orang ramai yang komen macam-macam tapi petang ini saya dipanggil ke IPD Kuala Muda,” katanya.

Pada Jumaat lepas, video Muhammad Sanusi dengan kenyataan “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama” ketika menjawab soalan media berhubung status kontena penghantaran yang digunakan untuk menyimpan mayat di Hospital Sungai Petani, susulan ketiadaan ruang di bilik mayat di sana tular di laman sosial Facebook.

Gurauan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang dan ramai yang tersinggung sehingga Muhammad Sanusi memohon maaf atas kenyataannya berhubung kontena jenazah itu.

Mengikut rekod, setakat ini seramai empat individu telah ditahan dan direkodkan kenyataan berhubung isu komen jelik terhadap Muhammad Sanusi.