10 tukun tiruan akan dilabuhkan di perairan Pantai Cherok Paloh

Tukun tiruan jenis Konkrit Kuboid Juvenil yang akan dilabuhkan diperairan Cherok Paloh, Isnin depan.
Tukun tiruan jenis Konkrit Kuboid Juvenil yang akan dilabuhkan diperairan Cherok Paloh, Isnin depan.
A
A
A
KUANTAN- Jabatan Perikanan Negeri Pahang akan melabuhkan 10 unit tukun tiruan di lokasi kira-kira 4.5 batu nautika dari Pantai Kampung Cherok Paloh, di sini, pada Isnin depan.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, program melabuhkan tukun jenis Konkrit Kuboid Juvenil bernilai RM325,000 itu mampu menarik kehadiran ikan selepas 24 jam dilabuhkan.

Menurutnya, tukun tiruan itu bukan sahaja menjadi rumah atau sarang pelbagai jenis ikan berkualiti tinggi tetapi juga sebagai penghalang aktiviti pukat tunda di kawasan tersebut.

"Dengan adanya tukun tiruan di perairan itu, akan merancakkan lagi aktiviti memancing dalam kalangan nelayan tempatan dan luar," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Abdullah berkata, kerja membina tukun tiruan berkenaan dilakukan di tapak bina tukun Pejabat Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber di Teluk Gading, Tanjung Gemok, Rompin.

"Pembinaan yang bermula Julai lalu kini siap sepenuhnya dan dalam proses menaikkan ke tongkang untuk di bawa ke lokasi yang akan dilabuhkan Isnin depan," katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh 13 tahun, jabatan itu telah melabuhkan 262 tukun tiruan konkrit di beberapa kawasan perairan di negeri ini termasuk di perairan Cherating, Pekan, Rompin dan Pulau Tioman melibatkan kos RM4.4 juta.

"Pada 2007 sebanyak 60 tukun tiruan jenis rekreasi dilabuhkan di perairan negeri ini manakala tahun lalu sebanyak 16 tukun jenis Kuboid dilabuhkan di perairan Pekan dekat Kampung Nenasi," katanya.

Pihak jabatan ujarnya terus berusaha mendapatkan peruntukan dalam menyediakan tukun tiruan pelbagai jenis dalam usaha menambah pendapatan golongan nelayan selain meningkatkan lagi sektor pelancongan menerusi aktiviti memancing.

Artikel Berkaitan: