34 individu ditahan jual gelaran 'Datuk', 'Datuk Seri' palsu

Sulaiman (kanan) menunjukkan pingat palsu selepas sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada Rabu.
Sulaiman (kanan) menunjukkan pingat palsu selepas sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan pingat dan darjah kebesaran negeri Melaka apabila menahan 34 individu termasuk dua dalang utama yang merupakan ahli perniagaan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 70 tahun itu ditahan di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor selepas Polis Kontinjen Melaka melancarkan operasi bermula 22 Februari hingga 29 Mac lalu.

Menurutnya, kedua-kedua dalang berusia 40-an itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak pertengahan tahun lalu dengan menjadikan sebuah rumah di daerah Melaka Tengah sebagai lokasi percetakan watikah manakala pingat dan selempang darjah kebesaran ditempah di luar negara.

Katanya, sindiket itu menyasarkan ahli perniagaan dan akan menjual watikah, pingat dan darjah kebesaran palsu itu dengan harga antara RM50,000 hingga RM100,000.

"Kejayaan ini bermula setelah polis menerima maklumat awal daripada orang awam mengenai aktiviti sindiket itu sekitar awal tahun ini.

"Dalang itu dibantu beberapa orang tengah yang berperanan mempromosikan dan menjual watikah yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri, serta watikah palsu Jaksa Pendamai Melaka," katanya.

Sulaiman berkata demikian ketika sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sulaiaman berkata, tangkapan turut melibatkan orang tengah dan pembeli yang mana mereka hanya mengetahui mengenai penjualan berkenaan melalui rakan-rakan.

Menurutnya, antara barangan yang dirampas termasuk 168 set lambang kereta Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka, 21 pingat dan darjah kebesaran negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri, 13 selempang darjah kebesaran negeri Melaka, watikah palsu, peralatan komputer dan lain-lain lagi.

Sulaiman (kanan) menunjukkan tandatangan palsu pada sekeping watikah palsu yang dirampas polis selepas sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada Rabu.
Sulaiman (kanan) menunjukkan tandatangan palsu pada sekeping watikah palsu yang dirampas polis selepas sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada Rabu.

Katanya, polis membuka empat kertas siasatan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

"Kedua-dua dalang itu juga disiasat di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 3(1)(b) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) Enakmen A21 Enakmen Negeri Melaka dan akan didakwa di Mahkamah Seksyen esok (Khamis)," katanya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan watikah, pingat dan darjah kebesaran palsu malah tandatangan yang dibuat juga adalah palsu dan tidak ada dalam pewartaan negeri.

"Melaka ini ada permohonan, mesti melepasi tapisan keselamatan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Isolvensi dan polis.

"Tidak kira apa permohonan bermula daripada sekecil-kecil pingat hingga yang paling tinggi akan melalui tapisan tiga agensi ini baharulah surat tawaran dikeluarkan," katanya.