Kain rentang provokasi: Pemuda UMNO Bagan Datuk lapor polis

Mohd Rizan (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di hadapan Balai Polis Hutan Melintang di sini pada Rabu.
Mohd Rizan (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di hadapan Balai Polis Hutan Melintang di sini pada Rabu.
A
A
A

BAGAN DATUK - Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk membuat laporan polis berkaitan kain rentang provokasi terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dipasang di sekitar Parlimen Bagan Datuk pada Rabu.

Ketuanya, Mohd Rizan Razali berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kain rentang yang dipasang kira-kira jam 7.30 pagi Rabu.

Jelas beliau, kain rentang tersebut dikesan dipasang di 17 lokasi di sekitar kawasan Parlimen Bagan Datuk.

"Kita percaya kain rentang ini telah dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab dengan niat menghina, mengaibkan dan memfitnah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk merangkap Presiden UMNO di beberapa lokasi di dalam kawasan Parlimen Bagan Datuk.

"Perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab yang bermotifkan politik bagi memberi persepsi buruk terhadap Ahmad Zahid," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis bersama wakil Wanita, Puteri dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bagan Datuk di Balai Polis Hutan Melintang di sini pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kain rentang desak Ahmad Zahid undur di Bagan Datuk

Mohd Rizan berkata, sehubungan itu pihaknya meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tersebut.

Menurutnya, perbuatan itu bukan sahaja berlaku di dalam kawasan Parlimen Bagan Datuk, malah kain rentang sama turut dikesan di pasang di Teluk Intan dan Seberang Perak.

Beliau berkata, Ahmad Zahid juga sudah dimaklumkan tentang perkara tersebut dan kesemua kain rentang yang dipasang itu telah ditanggalkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri mengesahkan menerima laporan tersebut.

Pada Rabu, beberapa kain rentang provokasi yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan dikesan digantung di Bagan Datuk.