Seludup rokok: Kastam tunggu laporan Australia

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam sewaktu sidang media selepas Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia Ke-87 di ibu kota, hari ini. Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) masih menunggu laporan lengkap daripada Australia berhubung kes seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara lima tahun di negara itu kerana menyeludup lebih enam juta batang rokok, dua tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri T Subromaniam berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi mendapatkan perkembangan terkini kes termasuk berhubung siasatan.

Menurutnya pihak berkuasa Australia sedang menyiasat kes berkenaan dan dijangka mengambil masa kerana melibatkan sindiket antarabangsa.

“Saya boleh beritahu setakat ini suspek mempunyai rangkaian di sana,” katanya ringkas pada sidang akhbar mengenai prestasi JKDM dalam membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan JKDM mengesahkan seorang lelaki warga tempatan dikenakan hukuman penjara lima tahun di Australia kerana menyeludup lebih enam juta batang rokok pada Ogos dua tahun lepas. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia