Pas perlu bersedia hadapi PRU15 dalam normal baharu: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta semua ahli parti itu bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam suasana normal baharu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, tiada sebarang aktiviti kempen dilakukan sekiranya wabak pandemik Covid-19 masih lagi menular di dalam negara.

“Jadi, kita kena bersiap sedia dengan suasana baharu. Memanglah pada peringkat awal susah laksanakan normal baharu ini, namun lama-lama insya-ALLAH akan OK.

“Pelaksanaan normal baharu dirasai dalam kehidupan harian sekarang, malah turut melibatkan ceramah, mesyuarat serta perjalanan PRU15,” katanya memetik laporan portal Harakahdaily pada Rabu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut memaklumkan, sidang Parlimen yang dijangka berlangsung pada awal September ini bakal menentukan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada kekal atau sebaliknya.

“Situasi politik sehari dua ini nampak tidak stabil khususnya setelah UMNO meminta ahli Parlimennya menarik diri daripada kerajaan PN,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, Muhyiddin mengumumkan beliau masih lagi Perdana Menteri yang mendapat sokongan ahli Parlimen setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau akan menentukan keabsahan dalam Sidang Parlimen pada September ini.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada pengumuman itu, ada sesetengah pihak mendakwa Muhyiddin sudah hilang majoriti, malah meminta beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dengan segera.