Siasat secara telus punca krisis air di Terengganu

Bekalan air disalurkan kepada penduduk terjejas. Foto: Ihsan Syarikat Air Terengganu. Gambar kecil: Armi Irzan
Bekalan air disalurkan kepada penduduk terjejas. Foto: Ihsan Syarikat Air Terengganu. Gambar kecil: Armi Irzan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat punca kerosakan paip utama yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan digesa melakukan siasatan secara telus dan membawa pihak yang melanggar undang-undang ke muka pengadilan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Terengganu, Armi Irzan Mohd berkata, ia bagi mengenalpasti punca utama kerosakan itu yang sehingga kini mengakibatkan 28,700 pengguna terjejas akibat terputus bekalan air sejak lebih seminggu lalu.

"Krisis air melibatkan penduduk di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kali ini boleh dianggap antara yang terburuk pernah berlaku.

"Keadaan yang telah berlarutan sejak 10 hari lalu memberikan kesukaran kepada mereka terutama yang sakit serta mempunyai anak ramai yang masih kecil.

"Justeru, kita amat berharap supaya pihak berwajib dapat menjalankan siasatan secara telus kerana ramai yang mahukan penjelasan apakah penyebab kepada krisis ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis air: Terengganu siasat korek pasir punca paip bocor

Gangguan air di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dijangka pulih 8 Ogos

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan juga perlu dilakukan terhadap dakwaan hakisan teruk berlaku pada kedalaman 10 meter di dasar sungai disebabkan aktiviti mengorek pasir yang tidak terkawal.

"Kesukaran dilalui rakyat ketika ini lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Bukan sedikit kesukaran yang dialami rakyat pada waktu ini, perniagaan terjejas teruk, kerosakan peralatan, masalah kesihatan bertambah, belanja harian naik berganda, ada anak yang masih kecil dan ibu ayah terlantar sakit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Armi Irzan turut merakam penghargaan atas usaha kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus lumus membantu penduduk terkesan.

"Kita akui, kerajaan, NGO, parti politik, pemimpin setempat bekerja kuat siang dan malam menyalurkan bekalan air bersih kepada mereka yang terjejas malah kakitangan Syarikat Air Terengganu (SATU) turut bekerja siang dan malam bagi membaiki kebocoran paip.

"Usaha dan jasa mereka begitu bermakna buat semua yang terkesan akibat masalah gangguan bekalan air ini," katanya.

Difahamkan masalah gangguan bekalan air yang berlaku sejak 2 Ogos lalu di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dijangka pulih secara berperingkat bermula Sabtu ini.