Pengajian maya BeDaie bimbing dalami ilmu agama

Muhammad Amar Mirza (kiri) menunjukkan kepada umum platform maya BeDaie yang dilancarkan di Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Selasa.
Muhammad Amar Mirza (kiri) menunjukkan kepada umum platform maya BeDaie yang dilancarkan di Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A
KOTA BHARU - Kebimbangan terhadap umat Islam seluruh dunia yang semakin meninggalkan pembelajaran agama secara bersemuka akibat ancaman Covid-19 mendorong seorang anak muda kelahiran Kelantan menubuhkan satu platform pengajian secara maya dengan mengumpulkan para ilmuan dari lapan negara.

Sekolah agama secara maya yang digelar BeDaie itu membolehkan semua orang mengikuti pembelajaran kitab yang tersedia dalam bentuk e-Book. Ia merangkumi 20 bidang berlandaskan aliran Ahli Sunah Wal Jamaah sesuai dengan semua peringkat umur yang boleh dipelajari di mana-mana sahaja dengan akses internet.

Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani, 27, berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai muslim membantu orang lain mendalami ilmu, mempelajari dan menghafal al-Quran serta merungkai persoalan dan kemusykilan agama.

Menurut beliau, BeDaie mengumpulkan lebih 20 tenaga pengajar bertauliah yang terdiri daripada para ilmuan tersohor dari seluruh pelosok dunia yang akan mengajar lebih 100 buah kitab agama di Zoom dan Google Meet.

Mohamed Fadzli merasmikan platform BeDaie menerusi sidang video pada Selasa.
Mohamed Fadzli merasmikan platform BeDaie menerusi sidang video pada Selasa.



“Pembelajan di BeDaie menggunakan sistem mudah, namun pelajar BeDaie tidak boleh melangkau mana-mana tahap pengajian sebelum menguasai ilmu asas. Pembelajaran di sini juga menggunakan sistem peperiksaan untuk menilai pencapaian dan kefahaman pelajar.

''Mereka yang lulus cemerlang di BeDaie akan memperoleh sijil khatam,'' katanya pada pelancaran BeDaie di Pasir Tumboh, di sini, pada petang Selasa.

Menurut beliau, pakej pengajian bermula dari RM150 sehingga RM250 bergantung kepada tahap pembelajaran. Pada masa sama, BeDaie juga menyediakan pembelajaran percuma kepada golongan kurang kemampuan atau mereka yang memerlukan.

Program dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang diwakilkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menerusi sidang video.

Artikel Berkaitan:


Kata pemuda berkelulusan Pengajian Syariah di Pondok Ribat Fatah dari Yemen itu, tenaga pengajar terlibat adalah dari lapan buah negara iaitu Malaysia, Yemen, China, India, Sri Lanka, Afrika, Thailand dan Indonesia.

“Dalam tempoh tiga bulan beroperasi sejak Jun lalu, seramai 500 pelajar yang berdaftar bagi mengikuti pengajian di BeDaie dan jumlah disasarkan untuk fasa pertama adalah seramai 1,000 pelajar.

Muhammad Amar Mirza (kanan) memberi penjelasan berkaitan BeDaie dan menunjukkan gambar para ilmuan yang terbabit dalam program platform pembelajaran agama Islam secara maya.
Muhammad Amar Mirza (kanan) memberi penjelasan berkaitan BeDaie dan menunjukkan gambar para ilmuan yang terbabit dalam program platform pembelajaran agama Islam secara maya.



“Dalam tempoh setahun kami sasarkan pertambahan secara berperingkat mencapai sejuta pelajar pada fasa keempat penubuhannya,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr Mohamed Fadzli memuji perjuangan yang dapat menyelamatkan umat dengan menarik orang ramai mendalami ilmu agama Islam ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Selain pendidikan menerusi sistem sekular, para ilmuan dan pendakwah yang berjihad untuk agama perlu kreatif dalam meningkatkan tahap pendidikan agama seluruh masyarakat.

“Platform BeDaie antara yang terbaik dan pertama dicipta oleh anak jati Kelantan adalah sesuatu yang dibanggakan kerana ia mampu memberi manfaat kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh pelosok dunia,” katanya.