Anggota polis dijel sehari, denda RM10,000 terima rasuah RM500

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang anggota polis dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menerima suapan RM500 kira-kira tujuh tahun lalu.

Koperal Mohd Shukri A Wahab, 53, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap didapati menerima wang tunai RM500 daripada Salleh @ Md Zamri Md Saman.

Ia sebagai dorongan melepaskan kenderaan yang membawa minyak petrol dan diesel bersubsidi secara haram dari Malaysia ke Thailand.

Kesalahan itu dilakukan tepi jalan berhampiran gudang minyak tidak bernombor di Kampung Remia Manis, Padang Terap lebih kurang jam 3.08 petang pada 19 November 2014.

Bagi kesalahan itu, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Kesiksaan (Akta 574) dan mahkamah mengenakan denda sebanyak RM10,000 dan penjara selama sehari.

Tertuduh telah membayar denda dan telah dihantar ke Penjara Alor Setar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping dan tertuduh diwakili peguam, Mohamad Khairul Hafizddin Ramli.

Artikel Berkaitan: