Saman anak sendiri demi nafkah cucu

No Image Caption
A
A
A

GARA-GARA mengabaikan tanggungjawab menjaga dua anaknya, seorang bapa nekad menyaman anak kandungnya sendiri.

Amran (bukan nama sebenar), berusia 70-an, terpaksa bertindak demikian pada tahun 2010 ekoran anak lelakinya, Kamal, tidak pernah memberikan nafkah kepada anak-anaknya yang ditinggalkan bersamanya dan isteri selama tujuh tahun.

"Saya terpaksa ambil tindakan saman kerana ini saja cara untuk kami bertemu semula dengan dia, demi dua anaknya. Saya hanya mahu dia pulang supaya kami dapat bertemu. Selama tujuh tahun dia tidak pernah menjenguk kami, kedua ibu bapanya dan dua anaknya. Dia juga tidak pernah memberi nafkah kepada anaknya," ujarnya.

Tiada siapa yang mahu membuka aib keluarga sendiri. Namun demi masa depan dua cucunya itu, Amran terpaksa memilih jalan itu yang dikatakan bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat minyak dengan gaji berbelas ribu sebulan.

Amran tidak menyangka anaknya berubah sikap selepas berkahwin buat kali kedua. Kamal tidak pernah menjenguk ibu bapanya dan anak-anaknya.

Cucu Amran sebelum ini dijaga bekas menantunya selepas disahkan bercerai dengan Kamal pada tahun 1998. Namun, selepas bekas menantunya berkahwin pada tahun 2004, penjagaan kedua-dua cucunya itu diserahkan kepada Amran dan isterinya.

Melihat cucunya yang sering bertanyakan perihal ibu bapanya, Amran berasa kasihan. Malah, ada beberapa ketika, pelajaran kedua-dua cucunya merosot, sedangkan mereka merupakan pelajar pintar.

"Saya sudah tidak bekerja. Pada masa itu, kesihatan juga kurang baik. Bagaimana saya hendak sediakan kewangan mencukupi untuk dua cucu saya ini?," soalnya.

Artikel Berkaitan:

Kes itu dibicarakan di sebuah Mahkamah Rendah Syariah di Pantai Timur dan kemudian dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Amran menuntut tunggakan nafkah berpuluh ribu ringgit untuk dua cucunya itu dan mengemukakan dua lagi tuntutan iaitu meminta defendan (Kamal) membayar nafkah bulanan kepada dua anaknya secara potongan gaji.

Selain itu, plaintif (Amran) juga mahu defendan memohon maaf kepadanya kerana mengabaikan tanggungjawab terhadap dua anaknya serta tidak pulang ke rumah sejak tujuk tahun lalu.

Selepas perbicaraan, hakim memutuskan Kamal dikehendaki membayar tunggakan nafkah kedua-dua anaknya kepada bapanya sebagai penjaga.

Selain itu, Kamal bertanggungjawab menyara keperluan ibu bapanya kerana berkemampuan. Mahkamah turut memerintahkan Kamal untuk pulang ke kampung menjenguk dan memohon maaf kepada kedua ibu bapanya yang kian uzur. Amran menarik nafas lega dengan keputusan itu. Harapannya semoga hubungan dengan anaknya kembali bertaut seperti sebelum ini.