Covid-19 kembali meningkat, 20,780 kes dilapor hari ini

Kes positif Covid-19 mencatatkan 20,780 kes pada Rabu. - Foto Bernama
Kes positif Covid-19 mencatatkan 20,780 kes pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kes harian Covid-19 kembali mencatatkan angka melebihi 20,000 apabila sebanyak 20,780 kes baharu dilaporkan pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,320,547 kes.

Menurutnya, Selangor kekal merekodkan kes baharu tertinggi iaitu 6,921 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,065 kes) ; Johor (1,693 kes) dan Kedah (1,534 kes).

“Sebanyak 400 kes iaitu 1.9 peratus daripada kes baharu yang direkodkan pada Rabu adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Sebanyak 20,380 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 5,138 kes (24.7 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kali terakhir Malaysia mencatatkan kes melebihi 20,000 adalah pada Jumaat, 6 Ogos lalu dengan rekod tertinggi kes harian sebanyak 20,889 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM mencatatkan sebanyak 17,973 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 1,075,816 kes.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, sebanyak 211 kes kematian akibat jangkitan Covid-19 telah direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian di negara ini adalah 11,373 kes.

“Jumlah ini melibatkan 79 kes di Selangor, 41 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 21 kes di Kedah, 16 kes di Johor, 13 kes di Sabah, masing-masing lapan (8) kes.

“Selain itu, masing-masing lapan kes di Negeri Sembilan dan Terengganu, masing-masing tujuh kes di Pulau Pinang dan Perak, enam kes di Melaka dan lima kes di Pahang,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 16 kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat Covid-19 turut direkodkan melibatkan 10 warganegera dan enam bukan warganegara.

Tambah beliau, sehingga kini terdapat 233,358 kes aktif di seluruh negara termasuk 1,053 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 546 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.