Pahang lulus tambahan 104 rumah RRP tahun ini

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang meluluskan tambahan 104 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi pelaksanaan dan pembinaan bermula September ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada Rabu.

Menurutnya, kelulusan di bawah fasa tiga itu merupakan tambahan kepada 102 unit RRP yang telah dilulus di bawah fasa dua untuk pelaksanaan dan pembinaan tahun ini.

"Melalui tambahan ini bermakna sebanyak 206 unit RRP bernilai RM65,000 seunit atau keseluruhan RM13.39 juta akan dibina tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, RRP dibina untuk diberi secara percuma kepada golongan memerlukan rumah khususnya mereka tersenarai dalam daftar e-kasih.

"RRP dilancarkan tahun lalu di bawah fasa satu atas keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu golongan berkenaan.

"Setakat ini sebanyak 98 unit RRP dengan kos RM6.37 juta telah siap dibina serta diduduki," katanya.

Tambah beliau, agihan rumah berkenaan pada tahun lalu membabitkan 42 kawasan Dewan Undangan Negeri dengan dua unit bagi setiap kawasan dan satu unit bagi setiap kawasan Parlimen di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap lebih banyak RRP dapat dibina pada masa akan datang bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri," katanya.