Tubuhkan jawatankuasa tangani krisis ekonomi, kesihatan: MACSA

Lukman sebagai panelis dalam program Wacana Sinar edisi ke-279 yang bertajuk “Krisis Tiga Serangkai: Politik, Ekonomi dan Kesihatan” yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Lukman sebagai panelis dalam program Wacana Sinar edisi ke-279 yang bertajuk “Krisis Tiga Serangkai: Politik, Ekonomi dan Kesihatan” yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Sebuah jawatankuasa badan pentadbiran yang menangani krisis ekonomi dan kesihatan perlu ditubuhkan sehingga keabsahan kerajaan dapat ditentukan.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias berkata, jawatankuasa tersebut perlu terdiri daripada golongan berwibawa dan bukan dalam kalangan ahli politik.

“Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan pilih siapa yang sesuai untuk menfokus pada dua masalah lagi iaitu kesihatan dan ekonomi sehingga wabak Covid-19 dapat diselesaikan.

“Jadi, kita cadangkan ini (sebagai) satu alternatif yang perlu difikirkan untuk kebaikan rakyat dan supaya kita dapat menangani dua krisis penting.

“Sementara itu, biar ahli politik berkempen, buat apa saja yang mereka mahu supaya mereka menang pilihan raya selepas Covid-19 selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-279 yang bertajuk Krisis Tiga Serangkai: Politik, Ekonomi dan Kesihatan yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis adalah Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syahrin Hamidon manakala Edlynna Hanie Hamid selaku moderator.

Mengulas lanjut, Lukman berkata, jawatankuasa itu hanya boleh wujud sekiranya tiada majoriti bagi menentukan keabsahan kerajaan atau darurat politik dikemukakan.

Artikel Berkaitan:

“Maka, dengan itu keabsahan kerajaan itu perlu ditentukan secepat yang mungkin kerana kita mahu menentukan sekiranya kerajaan itu mempunyai majoriti ia boleh diteruskan tetapi jika tidak, harusnya kita mencari strategi lain melalui pilihan raya,” ujarnya.