Eksport getah melonjak 150 peratus, cecah RM44.43 bilion: MRC

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

INDUSTRI getah Malaysia terus mencatat prestasi cemerlang apabila eksportnya melonjak 150.0 peratus tahun ke tahun kepada RM44.43 bilion bagi separuh pertama 2021 berbanding RM17.77 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan pada Rabu, Majlis Getah Malaysia (MRC) menyatakan, eksport produk hiliran yang menyumbang 89.7 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport industri itu telah meningkat 180.2 peratus tahun ke tahun dipacu oleh prestasi kukuh hasil lateks, terutama produk sarung tangan.

Malah, berikutan pandemik Covid-19, produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah, benang lateks dan kondom melonjak 200.1 peratus.

“Pada separuh pertama 2021, produk lateks merangkumi 93.9 peratus daripada eksport produk getah manakala baki 6.1 peratus disumbangkan oleh produk getah kering.

“Produk-produk sarung tangan terus kekal sebagai penyumbang pendapatan eksport terbesar bagi industri getah. Subsektor sarung tangan yang kebanyakannya meliputi sarung tangan perubatan, mencatat pertumbuhan melebihi tiga kali ganda atau 210.2 peratus kepada RM36.54 bilion pada separuh pertama 2021,” katanya.

Menurut MRC, berbanding tempoh sama pada 2020 yang merekodkan penguncupan akibat pandemik, sektor produk getah kering mencatat pemulihan ke dengan pertumbuhan sebanyak 38.2 peratus kepada RM2.41 bilion pada separuh pertama 2021 daripada RM1.75 bilion pada tahun lepas.

Antara produk tersebut adalah tayar, barangan getah industri, produk getah am serta kasut.

Tayar yang merupakan produk eksport terbesar dalam segmen barangan getah kering, menokok 43.2 peratus kepada RM840 juta pada separuh pertama 2021 daripada RM580 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Eksport barangan industri getah yang merangkumi produk bagi keperluan sektor automotif, perlombongan dan pembinaan telah meningkat sebanyak 44.2 peratus kepada RM610 juta pada separuh pertama 2021.

Dalam pada itu, MRC menjangkakan permintaan global bagi sarung tangan getah kekal mencatat pertumbuhan dua angka dalam lingkungan 12-15 peratus bagi tahun ini.

“Penggunaan sarung tangan getah per kapita global dijangka meningkat kepada 25 pasang pada tahun ini, dipacu oleh peningkatan penggunaan sarung tangan dalam pasaran eksport utama Malaysia seperti Amerika Syarikat dan Eropah serta pasaran baharu muncul yang besar, terutama di rantau Asia.

“Industri sarung tangan getah negara akan mengekalkan momentum positif dengan eksport diunjur mencecah paras tertinggi baharu bagi tahun penuh 2021,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, majlis tersebut telah memulakan inisiatif Pameran Produk Getah Malaysia Secara Maya (MaRViS) untuk terus memudahkan libat urus perniagaan secara dalam talian membabitkan pembeli antarabangsa dan pengeluar produk-produk getah di negara ini.

Fasa pertama MaRViS dijangka dilaksanakan pada September 2021 manakala pelancaran platform dalam talian itu dijangka pada Januari 2022.

Selain itu, MRC berserta Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) telah memulakan persiapan bagi mewujudkan Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia di Jeddah, Arab Saudi.

Menurut MRC, pembukaan pejabat tersebut akan membantu usaha melonjakkan nilai eksport industri getah serta membolehkan produk-produk berasaskannya menembusi pasaran baharu di Timur Tengah. - Bernama