Ringgit terus susut berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk dibuka rendah hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh susulan data ekonomi AS yang positif.

Pada jam 9.03 pagi, unit tempatan dicatatkan rendah kepada 4.2400/2430 berbanding dolar AS daripada 4.2270/2300 semasa ditutup pada Isnin.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, ringgit dijangka menghadapi persekitaran yang mencabar hari ini berikutan dolar AS yang lebih kukuh disebabkan data mengenai pekerjaan AS yang lebih baik baru-baru ini.

“Para pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed AS) telah menjadikan pemulihan pasaran pekerjaan sebagai syarat untuk dasar monetari yang lebih ketat.

“Berita mengenai pekerjaan yang optimis seperti itu membantu menyokong pandangan bahawa Fed AS dijangka bertindak lebih cepat untuk memperketat dasar monetari AS,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, Adam berkata, kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi China dan penularan varian Delta Covid-19 yang lebih cepat turut menambah tekanan kepada mata wang tempatan.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, pasaran terus tidak menentu dalam beberapa hari ini berikutan pengumuman Fed AS bahawa ia mungkin perlu memperketat dasar monetari bermula daripada mesyuarat akan datang.

“Jika Fed AS tidak mengambil pendirian untuk menaikkan kadar faedah, ini akan bermakna terdapat kekurangan peruntukan untuk membiayai pertumbuhan syarikat, saham dijangka merosot dan dolar cenderung untuk meningkat berbanding mata wang lain.

Artikel Berkaitan:

“Pada minggu ini, pelabur akan turut memantau Indeks Harga Pengguna untuk dolar, yang mungkin dapat memberi gambaran mengenai inflasi AS,” katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8309/8339 daripada 3.8382/8413 semasa ditutup pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.9659/9694 daripada 4.9718/9753.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1163/1187 daripada 3.1179/1206 dan naik berbanding pound kepada 5.8601/8643 daripada 5.8717/8759 sebelum ini. - Bernama