Dunia gesa Pakistan-India bertenang

Pengawal keselamatan sempadan India berkawal di sepanjang pagar sempadan di pinggir Amritsar, semalam. - Foto: AFP
Pengawal keselamatan sempadan India berkawal di sepanjang pagar sempadan di pinggir Amritsar, semalam. - Foto: AFP
A
A
A

NEW DELHI - INDIA. Tentera India dan Pakistan saling berbalas tembakan di sepanjang sempadan di wilayah bergolak, pagi tadi sehari selepas dua negara kuasa nuklear itu saling menembak jatuh jet termasuk insiden juruterbang India ditahan Islamabad.

Insiden itu berlaku di Poonch, sebuah daerah di Kashmir.

"Tentera India telah melancarkan serangan balas dengan efektif," kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel, Devender Anand.

Kejadian berbalas tembakan itu didakwa New Delhi dimulakan oleh Islamabad pada jam 6 pagi (waktu tempatan) dan berlarutan selama sejam, namun tiada kematian dilaporkan.

Terdahulu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menawarkan rundingan bersama India dan beliau berharap ia akan membuahkan hasil yang positif.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika beliau berucap di stesen TV selepas Islamabad menembak jatuh dua jet milik India di ruang udaranya di wilayah Kashmir.

"Serangan udara itu adalah untuk menunjukkan keupayaan Pakistan dan tidak kematian dilaporkan. Hanya perbincangan dapat meredakan ketegangan ketika ini. Sejarah telah mengajar kita bahawa peperangan penuh dengan kesilapan dan salah perhitungan.

"Kita perlu duduk dan berbincang. Saya sekali lagi menjemput India ke meja rundingan. Jika konflik ini bermula, ke mana ia akan berakhir?" katanya.

Artikel Berkaitan:

November lalu, pemimpin itu pernah menyuarakan hasrat untuk 'memulihkan hubungan' dengan New Delhi.

Ketegangan yang semakin memuncak itu menyebabkan negara antarabangsa menggesa kedua-dua pihak bertelagah supaya bertenang bagi mengelakkan peperangan keempat meletus.

Rumah Putih dalam satu kenyataan mendesak Pakistan dan India mengambil langkah segera untuk mengelakkan situasi menjadi semakin buruk.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo berkata, beliau telah bercakap secara berasingan dengan menteri luar kedua-dua negara itu dan meminta mereka memberi keutamaan terhadap komunikasi secara langsung serta mengelakkan aktiviti ketenteraan.

Duta Pakistan ke AS, Asad Majeed Khan memberitahu, Islamabad berharap pentadbiran Trump memainkan peranan lebih aktif untuk meredakan konflik tersebut.

Menurutnya, kekurangan kenyataan AS mengecam serangan itu telah menyebabkan India semakin berani untuk melancarkan tindakan ketenteraan.

Ketika ini, China, Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain termasuk Iran juga mendesak kedua-dua negara kuasa nuklear itu supaya bertenang.

Diplomat kanan Beijing, Wang Yi menyuarakan kebimbangan terhadap krisis itu ketika beliau menghubungi Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi.

AS, Britain dan Perancis turut mencadangkan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menyenaraihitamkan ketua kumpulan militan, Jaish-e-Mohammad yang mengaku bertanggungjawab mendalangi pengeboman berani mati yang menjadi punca krisis tersebut pada 14 Februari lalu. - Agensi