Tahap sara diri bagi susu segar, beras dijangka meningkat

Salahuddin (dua, kanan) melawat di sekitar tapak pameran Penubuhan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini. - Foto Bernama
Salahuddin (dua, kanan) melawat di sekitar tapak pameran Penubuhan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Kerajaan menjangkakan tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran susu segar, beras dan ruminan terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata SSL bagi susu segar tempatan dijangka meningkat daripada 58 peratus kepada 100 peratus; beras daripada 70 peratus kepada 75 peratus manakala ruminan daripada 24 peratus kepada 30 peratus.

"Hala tuju kita adalah meningkatkan produktiviti semua sektor dan SSL, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan dua Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai Agrobank di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2018 di sini, hari ini.

Salahuddin berkata sasaran itu dilihat realistik dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna pada jangka pendek dan sederhana.

Agrobank menandatangani MoU masing-masing dengan Mydin Mohamed Holdings Bhd dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Kuala Langat bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dan perkhidmatan perbankan.

Agrobank diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Syed Alwi Mohamed Sultan dan Ketua Pegawai Perniagaan Ahmad Shahril Mohd Shariff; manakala PPK Kuala Langat diwakili Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah Ab Razak Kasbollah, dan Mydin diwakili Pengarah Eksekutif Datuk Murad Ali Mydin Mohamad.

Pada majlis sama yang berlangsung di Pentas Utama, Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) itu, Agrobank turut melancarkan buku berjudul Teroka Potensi Industri Sayur-sayuran Malaysia, yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan perniagaan berasaskan sayuran serta potensi perniagaan dalam segmen berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: