UMNO sendiri yang pecah-belahkan UMNO

No Image Caption
A
A
A

SEORANG rakan Merak Jalanan mengutuskan WhatsApp hujung minggu lalu dengan nada yang penuh dukacita.

Sebagai salah seorang pegawai muda yang berkhidmat untuk Menteri Besar UMNO di sebuah negeri, beliau tidak boleh menunjukkan ‘warna’ sebenar dirinya.

Dalam kebanyakan isu berkaitan UMNO sebelum ini, beliau tidak terlalu gemar untuk bersuara kerana bimbang turut memberi implikasi kepada bosnya.

Namun, kali ini seperti ada beban berat mahu diluahkannya.

“Sedih melihat apa yang terjadi kepada kepimpinan UMNO hari ini.

“Sudah jauh daripada landasan asal perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Sekarang mereka hanya fikir survival diri sendiri saja,” katanya.

Walaupun enggan mendedahkan beliau berpihak kepada kem presiden atau naib presiden, namun beliau mengakui sedih melihat pemimpin UMNO saling bercakaran dan tergamak menjatuhkan kerajaan ketika pandemik Covid-19 dan rakyat menderita.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan pasti, beliau bukanlah satu-satunya ahli dan pemimpin muda UMNO yang sedang berduka dengan keretakan parti.

Ramai lagi ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi yang berbelah bagi antara kesetiaan kepada parti, kebimbangan digelar penderhaka dan kepentingan kepada negara pada ketika ini.

Malah ramai yang bingung dan tertanya-tanya apakah akan terjadi selepas ini?

Adakah UMNO akan menyertai satu jajaran harapan dengan Pakatan Harapan (PH) atau memilih Majlis Pemulihan Negara?

Dalam mengakhiri perbualan kami, rakan Merak Jalanan mengakui kali ini bukan DAP, PKR atau parti lain yang menyebabkan krisis UMNO.

Sebaliknya UMNO sendiri yang memecahkan UMNO.