Beban lebih ringan jika saling membantu

Penduduk mengisi air bersih yang disediakan oleh SATU ke dalam botol ekoran bekalan air terputus sejak seminggu lalu. Foto Bernama
Penduduk mengisi air bersih yang disediakan oleh SATU ke dalam botol ekoran bekalan air terputus sejak seminggu lalu. Foto Bernama
A
A
A

SEJAK 2 Ogos lalu, penduduk di sebahagian kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Terengganu terpaksa hidup dalam keadaan berjimat cermat dan kurang selesa.

Bukan berjimat dalam soal kewangan tapi menguruskan penggunaan air berikutan masalah gangguan air di sana.

Walaupun perit, seramai 28,700 akaun dan ahli keluarga masing-masing di dua daerah itu perlu bersabar untuk tempoh 10 hari kerana gangguan bekalan air itu khabarnya adalah yang terburuk pernah berlaku di Terengganu.

Masalah berpunca daripada paip bersaiz 1,200 milimeter di dasar Sungai Terengganu pecah dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) memaklumkan seramai 10 penyelam terlatih bertungkus-lumus membaiki kerosakan itu.

Menempuh 10 hari tanpa bekalan air memang payah apatah lagi dalam keadaan rakyat perlu berkurung ekoran sekatan penuh pergerakan namun Satu mengambil tanggungjawab menyediakan air bersih bagi kegunaan penduduk terjejas.

Satu dengan bantuan pasukan Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu dan operator negeri lain melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggerakkan berpuluh-puluh lori tangki untuk diagihkan ke kawasan terlibat.

Selain itu, kira-kira 149 tangki statik dan 86 paip pili turut disediakan bagi memudahkan pengguna terjejas mengambil bekalan air dari masa ke masa.

Banyak bantuan lain dihulurkan oleh pelbagai pihak dalam mengurangkan beban ditanggung penduduk terputus bekalan air termasuk anak-anak muda yang bertindak sebagai sukarelawan menghantar air dari rumah ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Keringat yang mengalir dari badan sukarelawan yang bekerja 24 jam sehari memastikan tangki air sentiasa terisi dan rumah penduduk mendapat air secukupnya menjadi bukti betapa komited mereka mencari saham akhirat.

PrihatinUniversiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) turut berkongsi kepakaran dalam membantu menyelesaikan krisis air dengan melakukan pengesanan imej dasar sungai Terengganu bagi mengenal pasti kebocoran paip Satu.

UMT melakukan operasi imbasan sonar dasar sungai bagi mendapatkan maklumat tepat lokasi kebocoran, kedalaman kawasan kebocoran dan keluasan kawasan terlibat dan antara peralatan digunakan ialah Dual Frequecy Side Scan Sonar, Differential Global Positioning System (DGPS).

Kerajaan negeri Terengganu pula mengumumkan pemberian air percuma selama dua bulan kepada 28,700 akaun di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang terlibat dengan gangguan bekalan air sejak 2 Ogos lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bil air percuma selepas baik pulih selesai itu sebagai penghargaan kerajaan terhadap kesabaran penduduk yang terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan air.

Di sebalik bantuan itu, penulis turut tertarik dengan keprihatinan parti politik negeri ini yang menghulurkan bantuan mereka dengan menghantar bekalan air bersih untuk kegunaan penduduk di kawasan terlibat.

Pas sebagai kerajaan negeri, dari segenap kawasan mengambil inisiatif menghantar beratus ribu liter air bersih kepada kawasan terlibat dan ia sudah pasti memberi kegembiraan buat penduduk.

UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP pula, juga dilihat bergerak mengagihkan sumbangan air mengikut cara masing-masing.

Sesetengah orang mungkin berpendapat semua sumbangan itu dilakukan demi meraih sokongan, populariti dan undi – elemen penting yang selalu dikejar oleh golongan politik demi survival mereka.

Namun di saat berdepan kesukaran, rakyat tidak lagi mempedulikan soal itu kerana yang penting mereka mendapat bantuan dan pembelaan sewajarnya daripada pemimpin, bukan hanya tahu berpolitik 24 jam.

Alangkah indahnya jika pemimpin politik negara kita juga melupakan soal politik, takhta dan kuasa buat seketika sebaliknya bekerjasama memberi sokongan, idea dan bantuan mengeluarkan negara daripada kebinasaan akibat pandemik Covid-19.

* Rahayu Mustafa ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Terengganu