Lindungi wang daripada Inflasi

Inflasi menyebabkan kuasa beli semakin mengecil dan harga barangan serta perkhidmatan terus meningkat, oleh itu wang perlu dilaburkan untuk melindungi nilainya.
Inflasi menyebabkan kuasa beli semakin mengecil dan harga barangan serta perkhidmatan terus meningkat, oleh itu wang perlu dilaburkan untuk melindungi nilainya.
A
A
A

TAHUKAH anda sebungkus nasi lemak atau mee goreng yang dibeli di kantin sekolah pada harga RM1.50 pada masa ini, hanya dijual pada harga 50 sen sebungkus ketika tahun 1990an.

Pernahkan anda mendengar ibu atau ayah mengeluh mengenai harga barang yang semakin meningkat dan menyukarkan mereka untuk berbelanja dan membeli barangan keperluan keluarga?

Keluhan ibu bapa anda sebenarnya bukanlah keluhan kosong kerana kenaikan harga barang bukanlah satu perkara yang berada dalam kawalan kita sebagai pengguna, sebaliknya dipengaruhi oleh pelbagai punca termasuklah peningkatan harga bahan mentah dan kos buruh dan permintaan yang meningkat.

Pengurangan dalam kuasa beli ini dikenali sebagai inflasi. Inflasi menyebabkan nilai wang mengecil dari tahun ke tahun dan oleh kerana nilai wang secara relatifnya semakin mengecil, ia perlu dilindungi.

Inflasi bukan saja memberi kesan kepada harga barangan, tetapi juga perkhidmatan yang ditawarkan, seperti yuran pendidikan, tambang bas dan keretapi, harga rumah, utiliti dan kebiasaannya, apabila harga meningkat, ia sukar sekali untuk turun semula.

Bagaimana cara terbaik melindungi nilai wang daripada mengecil? Salah satu cara ialah dengan melaburkan wang berkenaan dalam produk pelaburan yang memberi pulangan.

Pelaburan boleh dilakukan dalam pelbagai cara antaranya, melabur dalam ASB, unit amanah, pasaran saham, membeli rumah atau melabur untuk diri sendiri.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Melabur untuk diri sendiri bermakna belajar dan menambah ilmu dan kemahiran seperti melanjutkan pengajian ke universiti atau mengikuti kursus kemahiran seperti memasak, teknologi maklumat atau mempelajari bahasa kedua dan ketiga.

Pelaburan untuk diri sendiri memberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik untuk meraih pendapatan atau gaji yang lebih besar.

Apabila sudah mempunyai pendapatan kelak, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mula melabur dalam instrumen pelaburan yang sesuai. Jangan lupa, walau sebesar mana pendapatan, jika tidak diurus dengan baik, ia akan hilang begitu sahaja atau semakin mengecil nilainya.

Oleh itu, jangan biarkan sahaja gaji dalam akaun simpanan, sebaliknya ketepikan 5-10 peratus daripadanya untuk pelaburan dalam ASB atau pelaburan lain yang difikirkan sesuai.

Buat kaji selidik dan pilihlah pelaburan yang memberi pulangan melebihi kadar inflasi semasa. Jika kadar inflasi ialah 3 peratus, melaburlah dalam instrumen pelaburan yang memberi pulangan melebihi 3 peratus. Ini merupakan cara terbaik melindungi nilai wang daripada mengecil akibat inflasi.

Melaburlah secara aktif dan konsisten setiap bulan supaya wang terus bekerja untuk melindungi nilainya dan membolehkan kita membina tabungan kukuh.