Pegawai Timbalan Menteri dikebumi di Kuala Lumpur

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Jaimin Samitah yang meninggal dunia akibat Covid-19 selamat dikebumikan di Kuala Lumpur pada Selasa.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi selepas beliau dimaklumkan berhubung perkhabaran duka tersebut pada petang Isnin.

"Allahyarham dikebumikan petang tadi (Selasa) di Kuala Lumpur, namun saya tidak pasti di tanah perkuburan mana dan tidak dapat menghadirinya kerana sudah berada di Sabah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Guan Dee yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, kali terakhir mereka bertemu ialah pada sidang Parlimen 29 Julai lalu.

"Hasil ujian calitan di Parlimen saya negatif dan (sidang) Parlimen ditangguhkan. Jadi saya bersama pegawai saya balik ke Sabah.

"Dia (Allahyarham) masih di Kuala Lumpur dan menjalani ujian calitan lagi sebelum disahkan positif, lalu menjalani kuarantin," katanya.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau pula melalui Facebook rasminya memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang, Isnin.

"Dia dikebumikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jaimin dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur selepas disahkan dijangkiti Covid-19 pada minggu lalu.

Sementara itu, KKM mengesahkan kes kematian pertama direkodkan melibatkan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen pada 26 Julai hingga 29 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia antara sembilan penambahan kes yang dikenal pasti oleh KKM menjadikan jumlah keseluruhan dikesan berkaitan persidangan Parlimen ialah 97 kes.