'Terima kasih MFL'

Aidil Sharin Sahak
Aidil Sharin Sahak
A
A
A

KEDAH Darul Aman FC bersedia untuk kembali beraksi selepas menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu meskipun mengakui jadual padat yang perlu ditempuh.

Menurut ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak, beliau tetap berterima kasih kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atas usaha untuk membantu pasukan yang terlibat walaupun rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar hanya pemain positif sahaja dikuarantin ditolak.

Untuk itu, beliau dan barisan pemain akan terus bekerja keras untuk memastikan tiada lagi kes sebegini berlaku pada masa hadapan selain akan lebih tegas menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Liga-M berlangsung.

“Kedah memahami MFL telah sedaya upaya membantu Kedah dalam hal ini dengan cuba melakukan rayuan agar pemain yang positif sahaja dikuarantin.

“Namun arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dihormati dan wajib diikuti dalam soal kuarantin pemain serta pegawai.

“Kami harap tidak ada lagi berlaku kes positif Covid-19, bukan sahaja membabitkan Kedah tetapi mana-mana pasukan lain kerana banyak rombakan terpaksa dilakukan kerana terpaksa dikuarantin.

“Mengenai jadual perlawanan, saya akui memang tiada pilihan buat Kedah selain mengharungi jadual yang telah disusun MFL biarpun nampak ketat.

“Namun saya faham tiada pilihan lain buat MFL dan harap semua pemain terbaik saya dapat diturunkan dalam tiap perlawanan yang kita harungi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan pindaan terbaharu Jadual Liga-M, perlawanan Liga Super ke-18 bermula pada 13 Ogos manakala perlawanan Liga Super ke-19 sehingga 22, ia akan berlangsung bermula 20 Ogos sehingga 12 September.

Pindaan jadual Liga Malaysia (Liga-M) dilakukan selepas lima perlawanan Liga Super membabitkan Kedah terpaksa ditunda susulan terdapat kes positif Covid-19 dalam pasukan tersebut.