Kes kematian pertama libat sidang Parlimen

Sebanyak 97 kes positif Covid-19 dikesan setakat ini membabitkan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai lepas.
Sebanyak 97 kes positif Covid-19 dikesan setakat ini membabitkan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai lepas.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes kematian pertama direkodkan melibatkan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen pada 26 Julai hingga 29 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia antara sembilan penambahan kes yang telah dikenal pasti oleh KKM menjadikan jumlah keseluruhan dikesan berkaitan persidangan Parlimen ialah 97 kes.

Ujar beliau, kes kematian itu melibatkan pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai sejarah hadir ke Parlimen pada tempoh berkenaan.

“Ujian saringan pra Dewan Rakyat pada 23 Julai 2021 dan ujian saringan melalui air liur (RTK-Ag) pada 29 Julai 2021 negatif.

“Beliau kemudiannya menunjukkan gejala pada 31 Julai dan positif ujian saringan Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR) dengan nilai kitaran ambang atau CT value 14.88.

“Keadaan beliau bertambah teruk dan dimasukkan ke hospital pada 4 Ogos 2021 untuk rawatan lanjut namun keadaan beliau amat kritikal dan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, empat kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 telah dikesan hasil saringan semasa pra Dewan Rakyat manakala empat lagi kes melibatkan kontak rapat yang hadir semasa persidangan Dewan Rakyat.

“Enam kes telah lengkap mendapat dua dos vaksin dan dua lagi kes membabitkan kanak-kanak, kontak rapat kes yang belum layak mendapat vaksin.

Artikel Berkaitan:

“Hasil siasatan KKM setakat ini mendapati walaupun kes positif ini tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain kecuali kontak rapat namun perkongsian bilik dan kemudahan asas seperti tandas, surau dan ruang makan oleh ramai individu mengundang risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen,” ujarnya.