Sila log masuk terlebih dahulu.

Krisis air dua daerah di Terengganu berlarutan tiga hari lagi

Dr Mamad (dua dari kanan) ketika sidang media di ibu pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU) pada Selasa.
Dr Mamad (dua dari kanan) ketika sidang media di ibu pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU) pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Krisis bekalan air melibatkan 28,700 akaun pengguna di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang sepatutnya selesai pada Rabu dijangka berlarutan tiga hari lagi iaitu pada 14 Ogos.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, ia berikutan kerja-kerja membaiki paip utama yang bocor di dasar sungai Terengganu masih belum siap sepenuhnya.

"Setakat ini proses memasang anchor airbag, pipe alignment clamp dan mencabut clamp sedia ada bersaiz 1600 milimeter (mm) pada paip telah siap sepenuhnya.

"Kini kerja-kerja kimpalan bagi mengukuhkan struktur paip diteruskan pada Selasa sebelum proses susulan memasang clamp bersaiz 1600 mm serta membuat cement grounding," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Syarikat Air Terengganu (Satu) pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Wilayah Timur Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Azamy Abdul Aziz Abdul Aziz dan Pengarah Sumai Engineering Sdn Bhd, Wan Hafizul Arsyad Wan Mahyuddin.

Menurut Dr Mamad, proses membaiki paip memakan masa kerana perlu memastikan keseluruhan proses membaiki paip siap dan air bersih dapat disalurkan sepenuhnya kepada pengguna.

"Pengguna dijangka mula mendapat air secara berperingkat mulai 14 Ogos (Sabtu) pada jam 12 tengah malam manakala sistem agihan dijangka pulih sepenuhnya di kawasan terlibat pada waktu sama, Isnin depan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, pelaksanaan kerja-kerja di luar jangka turut diambil kira memandangkan kesukaran melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip di dasar sungai.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keadaan arus sungai deras dan air sungai yang keruh mengehadkan jarak penglihatan sekali gus menyukarkan proses membaiki paip.

"Pihak kontraktor dan pasukan teknikal telah berusaha sedaya upaya memastikan kerja-kerja membaiki paip berjalan mengikut jadual.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri memohon maaf atas kesulitan dan kelewatan yang berlaku," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 151 tangki statik dan 34 lori tangki disediakan di kawasan terlibat bagi memastikan pengguna terjejas mendapat bekalan air.

Katanya, ia membabitkan DUN Seberang Takir, Buluh Gading, Batu Rakit, Manir, Tepoh dan Bukit Tunggal.

Selain itu, beliau berkata, Satu turut menyediakan 86 paip daripada sumber utama bagi membolehkan pengguna terjejas mendapatkan bekalan air bersih.

Pada 5 Ogos lalu, kerajaan negeri menjangkakan masalah bekalan air yang berlaku melibatkan dua daerah di Terengganu sejak 2 Ogos lalu pulih pada Rabu (11 Ogos).