Latihan mencari, menyelamat persediaan hadapi LIMA'19

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI - Seramai 915 peserta bersiaga siaga melalui Eksesais Mencari dan Menyelamat (SAREX) bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang berlangsung Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA '19) pada 26 hingga 30 Mac depan.

Difahamkan, SAREX LIMA'19 melibatkan dua elemen utama, iaitu latihan menyelamat di laut diadakan kelmarin dan latihan menyelamat di darat diadakan semalam.

Pengerusi SAREX LIMA'19, Kol Mahadzer Amin berkata, senario pelanggaran dua kapal terbang menyebabkan sebuah pesawat terhempas di kawasan pameran statik di Lapangan Terbang Antarabangsa LANGKAWI (LIA) disimulasikan dalam latihan itu.

Beliau berkata, mereka berusaha menangani isu-isu keselamatan dalam aspek udara, air dan daratan sebagai persediaan menghadapi LIMA'19 melalui SAREX selama dua hari itu.

"Dalam SAREX LIMA' 19, seramai 830 anggota dan 85 sukarela dari lebih 35 buah agensi terlibat melakukan persedian bagi menghadapi situasi kecemasan.

"Antara objektif SAREX LIMA'19, kita berharap dapat menilai keberkesanan koordinasi AEP dan prosedur komunikasi antara agensi yang terlibat," katanya.

Katanya, pihaknya turut berharap SAREX LIMA'19 menguji dan menilai keberkesanan prosedur koordinasi dan komunikasi melibatkan tugas mencari dan menyelamat masa kini.

"Selain itu, latihan diadakan untuk menguji, menilai dan menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) dan manual sedia ada yang digunakan semasa berhadapan dengan situasi kemalangan udara," katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Malah, katanya, pihaknya berharap latihan itu mampu meningkatkan keberkesanan tindakbalas bantuan ataupun kerjasama dari pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, serta menguji keberkesanan bantuan dan sokongan logistik untuk Operasi Mencari dan menyelamat.

SAREX LIMA'19 yang dijayakan Tentera Udara Diraja Malaysia dengan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia turut melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Untuk rekod, SAREX LIMA'19 berkenaan menggunakan 29 aset laut, 25 aset darat dan lima aset udara.