19,991 kes positif Covid-19 hari ini, 201 kematian

Kes positif Covid-19 kembali meningkat apabila mencatatkan 19,991 kes pada Selasa. - Foto Bernama
Kes positif Covid-19 kembali meningkat apabila mencatatkan 19,991 kes pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 19,991 kes baharu positif Covid-19 pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini ialah 1,299,767 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 7,338 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,374), Kedah (1,830), Johor (1,344), Sabah (1,383), Kelantan (1,030) dan Perak (953).

Selain itu, katanya, Sarawak merekodkan sebanyak 836 kes, diikuti Pulau Pinang (743), Melaka (578), Negeri Sembilan (564), Pahang (539), Terengganu (378), Putrajaya (76), Perlis (24) dan satu kes di Labuan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 385 kes adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala sebanyak 19,606 kes lagi membabitkan kategori satu dan dua.

“Secara keseluruhan, hanya 4,632 kes daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM mencatatkan sebanyak 16,258 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 1,057,843 kes.

Bagaimanapun, ujar beliau terdapat 201 kes kematian berkaitan Covid-19 dan 163 kes adalah rakyat tempatan dan 34 warga asing.

“Sebanyak 201 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 87 kes di Selangor, 37 kes di Kuala Lumpur, 20 kes di Johor, 14 kes di Perak, 12 kes di Sabah, 10 kes di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, lapan kes kematian di Melaka, lima kes di Negeri Sembilan, masing-masing tiga kes di Kedah dan Sarawak, dan dua kes di Terengganu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat 230,762 kes aktif di seluruh negara termasuk 1,096 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Tambahnya, sebanyak 570 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengenal pasti sebanyak 47 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 iaitu 46 kes varian Delta dan satu kes varian Beta.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 667 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 647 kes ialah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” jelasnya.