Ladang ayam punca sungai tercemar diberi tempoh tujuh hari

Tular gambar pencemaran ke atas Sungai Air Kuning.
Tular gambar pencemaran ke atas Sungai Air Kuning.
A
A
A

TAMPIN - Sebuah ladang ternakan ayam di Gemencheh diberi tempoh tujuh hari bermula Isnin untuk membersihkan sistem kumbahan yang didakwa menyebabkan pencemaran ke atas Sungai Air Kuning.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, arahan itu dikeluarkan selepas mengambil kira siasatan di lokasi berkenaan ketika lawatan mengejut pihaknya bersama agensi bertanggungjawab, pada Isnin.

"Salah satu punca pencemaran sungai terlibat adalah dari ladang ternakan ayam itu dan didapati memang berlaku pengaliran air sisa kumbahan dari ladang berkenaan ke dalam parit serta anak air.

“Pemilik ladang ternakan ayam ini diberi tempoh tujuh hari untuk membersihkan dan menambah baik sistem kumbahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Bakri berkata, Jabatan Veterinar Negeri Sembilan akan mengadakan lawatan susulan ke ladang ternakan tersebut selepas tempoh tujuh hari berakhir.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada pemiliknya jika masih ingkar dan tidak melakukan penambahbaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Bakri berkata, dakwaan mengenai ikan dan anjing penduduk turut mati akibat pencemaran itu masih belum dapat disahkan kerana memerlukan siasatan lanjut.

"Ini berikutan di huluan tempat kejadian iaitu lebih kurang 1.5 Kilometer (KM) dari ladang ternakan itu terdapat aktiviti meracun rumput di tebing sungai ladang getah, pada masa sama kira-kira satu kilometer dari ladang sama pula masih terdapat anak-anak ikan yang hidup.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna kematian ikan dan anjing itu bukan berpunca dari pencemaran berkenaan. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Pada Isnin Bakri ke lokasi tersebut selepas dimaklumkan berlaku pencemaran air di Sungai Air Kuning di sini sehingga menyebabkan kematian ikan dan anjing selain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.