Dewan Kenangan kini dinaik taraf PPV Integrasi

PPV Dewan Kenangan di Sungai Petani yang dinaik taraf menjadi PPV Integrasi bermula Rabu ini.
PPV Dewan Kenangan di Sungai Petani yang dinaik taraf menjadi PPV Integrasi bermula Rabu ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kenangan akan dinaik taraf sebagai PPV Integrasi bermula Rabu ini dengan kapasiti sebanyak 2,000 suntikan sehari.

Pengurus PPV Integrasi Dewan Kenangan, Dr Sabeelah Begum Mohd Yunus berkata, dengan penukaran status PPV Awam ke PPV Integrasi itu membolehkan lebih ramai penduduk Sungai Petani menerima vaksin berbanding kira-kira 1,500 suntikan sehari sebelum ini.

Beliau berkata, ia sekali gus memenuhi hasrat kerajaan bagi melengkapkan imuniti kelompok melibatkan 100 peratus penduduk dewasa atau 80 peratus populasi Malaysia dijangka mendapat dos lengkap vaksin menjelang hujung Oktober nanti.

"PPV Integrasi bekerjasama dengan pihak swasta untuk maksimumkan vaksinasi.

"Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengendalikan PPV Awam sebelum ini akan balik semula ke tempat mereka bertugas," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Dr Sabeelah Begum (depan di kiri) bersama barisan pengendali PPV Integrasi Dewan Kenangan, Sungai Petani pada Isnin.
Dr Sabeelah Begum (depan di kiri) bersama barisan pengendali PPV Integrasi Dewan Kenangan, Sungai Petani pada Isnin.

Dr Sabeelah Begum turut mengingatkan penerima vaksin supaya bersedia dengan dokumen penting selain pen, pelitup muka, air minuman atau makanan bagi mengelakkan keletihan terutama kepada warga emas yang terpaksa menunggu lama.

"Perlu diingatkan juga supaya berehat secukupnya sekiranya mendapat tarikh awal sebelum divaksin dan datang ikut masa ditetapkan.

"Kita juga nasihatkan agar sentiasa peka dengan janji temu khususnya anak-anak yang mempunyai warga emas bagi mengelakkan terlepas tarikh suntikan seperti yang pernah berlaku sebelum ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mana-mana warga emas di daerah Kuala Muda yang terlepas tarikh janji temu vaksin, boleh hadir secara 'walk-in' di PPV Awam dan PPV Integrasi mengikut waktu ditawarkan.

"Inisiatif ini memudahkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas untuk mendapatkan vaksin sekiranya masih belum menerima janji temu atau terlepas tarikh," katanya.

Setakat ini, katanya, daerah Kuala Muda mempunyai PPV Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (PLAK), PPV Taman Gurun Jaya, PPV Integrasi Dewan Kenangan dan PPV Mega Amanjaya Sports Arena.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tiada perkhidmatan 'walk-in' di PPV Mega di Amanjaya Sports Arena yang mana menyediakan 5,000 suntikan vaksin sehari melalui janji temu daripada mySejahtera.