Pegawai kanan majlis perbandaran, kontraktor direman kes rasuah

Kedua-dua suspek yang berusia 41 dan 48 tahun itu ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek yang berusia 41 dan 48 tahun itu ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pegawai kanan di sebuah majlis perbandaran di Kedah direman lima hari di Mahkamah Majistret Georgetown bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan RM200,000, dua tahun lalu.

Seorang kontraktor berusia 48 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu turut direman.

Kedua-duanya direman sehingga 14 Ogos ini untuk membantu siasatan.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fardrina Zulkhairi pada pagi Selasa selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai menyalahguna kuasanya sebagai pengarah bagi mencadangkan syarikat milik bapanya memperoleh projek yang dikeluarkan kerajaan pada 2019.

Menurutnya, suspek dikatakan membuat cadangan itu kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah membabitkan projek kerja menurap dan menyelenggara jalan di sebuah daerah di negeri itu.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini kira-kira jam 11 pagi, pada Isnin.

Kedua-dua suspek yang memakai baju SPRM dengan tangan bergari tiba di Kompleks Mahkamah Georgetown sambil diiringi pegawai SPRM serta peguam mereka, Parmjit Singh pada jam 10 pagi.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.