Kapal tangki dari Korea Selatan berlabuh tanpa kebenaran

Kapal tangki yang ditahan Maritim di perairan Johor Timur pada Isnin.
Kapal tangki yang ditahan Maritim di perairan Johor Timur pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur di sini petang Isnin.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki dari Korea Selatan itu ditahan di kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Siang kira-kira jam 5.15 petang.

Beliau memberitahu, pemeriksaan awal mendapati kapal tangki terbabit telah bersauh sejak Jumaat lalu kerana menunggu arahan pergerakan daripada syarikat perkapalan.

"Bagaimanapun, nakhoda kapal didapati tidak memaklumkan ketibaan kapal terbabit dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia.

"Kapal tangki itu dikendalikan 18 kru terdiri daripada warga Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 58 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Nurul Hizam, nakhoda bersama ketua jurutera kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

"Kapal tangki terbabit ditahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

"Maritim menasihatkan kepada semua pemilik kapal mengikut peraturan yang telah ditetapkan sebelum tiba di perairan Malaysia bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang terhadap kapal mereka," katanya.

Artikel Berkaitan: