Bukan masanya berebut kuasa: Pemangku Raja Pahang

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah
A
A
A

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menyeru rakyat di negeri ini bersatu dan bekerjasama mencari penyelesaian terbaik dalam menangani pandemik Covid-19.

Baginda bertitah, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini, sikap bersatu padu dan saling tolong perlu diamalkan.

"Waktu ini bukan masanya untuk berebut kuasa, bersengketa dan berbicara tanpa berbuat apa-apa sebaliknya inilah masanya untuk kita bersatu tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik untuk menang menentang ancaman musuh yang tidak kelihatan itu.

"Pandemik ini satu ujian ALLAH SWT yang harus diterima umat Islam biarpun ia memberi kesan kepada kehidupan seharian termasuk dalam aktiviti agama, ekonomi dan sosial," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang secara dalam talian pada Selasa.

Dalam titah ucapan itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyeru semua pihak termasuk kerajaan, agensi kerajaan, wakil rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, penghulu, ketua kampung dan jawatankuasa masjid agar sentiasa cakna terhadap rakyat yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.

"Saya tidak mahu ada rakyat kelaparan dan terputus bekalan makanan, justeru bantuan sewajarnya perlu dihulurkan bagi meringankan beban mereka.

"Satu bakul makanan berharga RM100 mungkin kecil bagi kita tetapi bagi mereka yang kesempitan ia cukup bermakna dan besar nilainya," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, semangat kejiranan yang tinggi juga dituntut dalam keadaan ketika ini.

"Pepatah 'jangan jaga tepi kain orang' tidak lagi relevan ketika ini sebaliknya sebaliknya semua pihak perlu lebih prihatin terhadap kesusahan jiran dan hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," titah baginda.

Sementara itu, baginda turut mengajak umat Islam agar menghayati kisah hijrah Rasulullah SAW yang merupakan peristiwa agung dalam Islam.

"Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi baginda dalam dakwahnya termasuk tentangan daripada masyarakat jahiliah ketika itu hingga berlakunya peristiwa hijrah ini.

"Hijrah baginda bukan bermaksud melarikan diri, lari dari kesusahan atau mengejar kesenangan dunia tetapi menjadi kewajipan kepadanya demi mendaulatkan kalimat ALLAH SWT di muka bumi ini," titah baginda.