Projek infrastruktur mega perlu digerak untuk rancak pertumbuhan ekonomi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia boleh menyaksikan pengembangan ekonomi yang lebih hebat sekiranya ia memulakan projek-projek infrastruktur mega pasca pandemik seperti kereta api berkelajuan tinggi terutama bagi tujuan pengangkutan barang yang akan memberikan pelbagai kesan ke seluruh rantaian bekalan.

Menurut Pensyarah Keusahawanan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Aida Idris, projek-projek seumpama itu akan menjadi pendorong kepada pengusaha luar bandar untuk menghasilkan dan memasarkan produk mereka di bandar dan melangkauinya.

"Dengan ekonomi digital yang semakin berkembang bak cendawan sejak tahun lepas, saya yakin kerajaan akan meneliti untuk memenuhi projek infrastruktur mega lebih kepada pengangkutan barangan berbanding penumpang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, tiga sektor utama yang akan menerajui pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik adalah pembuatan, pertanian dan perkhidmatan tetapi tanpa mengambil kira tiga sektor ini, tiada satu pun yang boleh berfungsi tanpa sokongan infrastruktur dan utiliti yang baik.

"Maksud saya ialah jangan kita abaikan ataupun terlepas pandang terhadap sektor infrastruktur dan utiliti yang merupakan syarat paling asas dalam pemulihan ekonomi negara," katanya sambil menambah beberapa negara Eropah juga mengguna pakai strategi pengangkutan barang menggunakan kereta api untuk meningkatkan ekonomi.

Mengulas lanjut mengenai pentingnya projek infrastruktur yang baik, beliau berkata, projek kereta api berkelajuan tinggi harus fokus pada pencapaian pembangunan yang sama antara kawasan luar bandar dan bandar sejajar dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Beliau berkata, pandemik ini telah membawa masyarakat kepada gaya hidup norma baharu iaitu bekerja dari rumah dan memanfaatkan ekonomi digital dengan mana hampir semua pekerjaan beroperasi secara dalam talian, justeru, mampu mengurangkan pergerakan.

"Keperluan untuk pergerakan penumpang juga dapat dikurangkan tetapi lebih kepada ekonomi digital dan perniagaan dalam talian kerana barangan dapat diakses menerusi pasaran bukan tradisional," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan mengkaji semula semua projek pembinaan di seluruh negara, terutamanya yang belum dimulakan.

Menurut beliau, Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan akan mengkaji semua projek, terutama yang belum dimulakan tetapi sudah mempunyai peruntukan.

No Image Caption

Sementara itu, mengenai bantuan tunai melalui pelbagai pakej yang diperkenalkan oleh kerajaan termasuk Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), Aida berkata, pakej-pakej ini pasti akan membantu meningkatkan ekonomi, bergantung kepada peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang pelbagai antara negeri.

"Bantuan tunai untuk mereka yang berada di fasa satu sangat diperlukan untuk menampung perbelanjaan asas tetapi bagi mereka yang telah memasuki fasa dua dan seterusnya, bantuan tunai adalah penting bagi ekonomi tempatan kerana ia meningkatkan kuasa membeli rakyat.

"Orang ramai cenderung berbelanja banyak dan kegiatan ekonomi akan bertambah sekiranya ada permintaan yang lebih tinggi. Sehubungan itu, bantuan tunai untuk golongan yang berada pada fasa dua dan ke atas akan memberi kesan positif kepada keseluruhan rantaian bekalan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai Belanjawan 2022 yang akan datang, Aida percaya kerajaan akan menekankan kepada meningkatkan ekonomi digital dan terus mengembangkan sektor ini, seiring dengan pola pembelian oleh pengguna.

"Kita perlukan banyak sumber untuk mengembangkan bidang ini termasuk memastikan rakyat dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan bagi memenuhi pelbagai keperluan pengguna bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia,” katanya. - Bernama