65 kluster masih aktif di Negeri Sembilan

Antara pekerja Pasar Besar Seremban yang menjalani ujian saringan pada 25 Julai lalu. (Gambar kecil: Veerapan)
Antara pekerja Pasar Besar Seremban yang menjalani ujian saringan pada 25 Julai lalu. (Gambar kecil: Veerapan)
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan merekodkan 65 kluster melibatkan 50 kluster tempatan dan 15 kluster import yang masih belum diisytiharkan tamat setakat ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, Kluster Industri Senawang mencatatkan kes kumulatif tertinggi dengan 2,133 kes diikuti dengan Kluster Industri Lorong Senawang Empat iaitu 886 kumulatif kes dan Kluster Pedas 2 sebanyak 636 kumulatif kes.

"Bagaimanapun, sehingga Isnin terdapat penambahan kes positif Covid-19 melibatkan sembilan kluster antaranya Industri Jalan Senawang Tiga, Industri Lengkok Emas Nilai, Pasar Besar Seremban, Industri Chembong dan Industri Ringan Mantin.

"Kes baharu yang direkodkan itu melibatkan daerah Seremban mencatatkan sebanyak 1,028 kes, Port Dickson (65 kes), Jempol (50), Kuala Pilah (15), Rembau (18 kes), Tampin (15) dan Jelebu (24) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,215 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Veerapan berkata, dengan pertambahan kes itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 79,992 kes.

"Daripada jumlah kumulatif tersebut, 71,109 kes telah sembuh dan discaj, 8,064 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 819 kes telah meninggal dunia. Terdapat 14 kes kematian berkaitan wabak turut dilaporkan pada Isnin.

"Selain itu, terdapat 12,603 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah iaitu jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir," katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya orang ramai sentiasa mengelakkan 3S iaitu sembang dekat, tempat sempit, dan tempat sesak selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, sehingga Ahad seramai 422,843 individu di negeri ini selesai menerima dua dos vaksin Covid-19.

"Seramai 641,467 individu telah menerima dos pertama vaksin masing-masing dengan jumlah keseluruhan yang mendaftar vaksinasi 867,030 orang iaitu individu yang berumur 18 tahun ke atas," katanya.