MBPJ lancar pertandingan kitar semula

Mohd Azizi bergambar bersama penaja sewaktu majlis pelancara program berkenaan.
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah dan Tadika bersama Fraser & Neave Holding Bhd (F&N) bermula 1 Mac hingga 30 Ogos depan.

Difahamkan, penganjuran program yang memasuki edisi kali kedua ini bertujuan bagi memupuk sifat kecintaan dalam meneruskan amalan kitar semula di kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak.

Menerusi program ini, MBPJ menjangkakan peningkatan penyertaan daripada sekolah dan tadika di seluruh Petaling Jaya berbanding pada tahun lalu.

Di samping itu, MBPJ berharap inisiatif ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh sekolah dan tadika bagi mengumpul barangan kitar semula sepanjang tempoh enam bulan penganjuran program ini berlangsung.

Pada kali ini, F&N yang menjadi penaja utama telah menyumbangkan dana sebanyak RM22,560 manakala MBPJ juga memperuntukkan dana sebanyak RM1,200 sebagai insentif tambahan untuk kategori stayrofoam yang merupakan bahan boleh dikitar semula menjadi bahan mentah dalam pembuatan bingkai gambar.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain turut berkesempatan bersama-sama bagi merasmikan program tersebut.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh berhubung dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ di talian 03-7954 1440 atau layari laman sosial atau laman sesawang www.mbpj.gov.my atau laman sosial (Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter&Instagram: @pjcitycouncil).