Kestabilan politik penting untuk perangi Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PERASAAN rakyat jelata sepanjang minggu ini tentunya dalam keadaan gusar apabila melihatkan dua masalah besar yang masih menyelubungi negara masih gagal diselesaikan sehingga ke hari ini.

Pertama, kes penularan pandemik Covid-19 terus mencatatkan angka yang tinggi dan belum menampakkan sebarang tanda-tanda ia akan menurun dalam tempoh terdekat.

Kedua, kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa telah kehilangan sokongan majoriti menyebabkan politik negara dalam keadaan goyah.

Lalu timbulnya persoalan, apakah kegagalan membendung penularan pandemik Covid-19 dan pergolakan politik yang tidak menentu itu adalah berpunca daripada kesilapan pemimpin-pemimpin negara kita sendiri?

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mula tergugat setelah pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat 11 ahli Parlimen daripada partinya telah menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Melihat kerajaan seolah-olah akan tumbang pada bila-bila masa, Muhyiddin sehari kemudian dengan pantas menegaskan kerajaan pimpinan beliau masih mempunyai sokongan yang padu.

Malah, beliau bersedia berdepan usul percaya di Parlimen pada sidang September ini.

Dengan ancaman Covid-19, ahli-ahli politik sepatutnya meletakkan keselamatan rakyat sebagai keutamaan. Mereka tidak sepatutnya merumitkan lagi keadaan dengan menjejaskan kerja-kerja memerangi wabak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Adalah malang ketika rakyat memerlukan bantuan sama ada dari segi bantuan sara hidup mahupun penjagaan kesihatan yang lebih sempurna, ahli-ahli politik pula sibuk berlawan siapa yang patut berkuasa untuk menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, kebijaksanaan rakyat tidak boleh dipertikaikan yang sudah tentu mahu segala pertikaian antara kerajaan dan pembangkang ditamatkan segera melalui undi di tangan mereka.

Namun untuk melaksanakan pilihan raya umum juga bukan langkah terbaik ketika virus Covid-19 semakin mengganas.

Menjadi harapan rakyat agar sidang Parlimen pada September ini dapat dirungkai. Kestabilan politik diperlukan bagi memastikan usaha membendung Covid-19 berjaya diatasi dengan segera.