JDT mahu teruskan momentum kemenangan

Penyerang JDT, Bergson da Silva mengawal bola pada perlawanan berkenaan.
Penyerang JDT, Bergson da Silva mengawal bola pada perlawanan berkenaan.
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Sabah di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad kian mencerahkan peluang Harimau Selatan untuk bergelar juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

Menurut Mora, dia optimis skuad Harimau Selatan itu mampu untuk meneruskan aksi konsisten dalam usaha melakar kemenangan pada baki empat perlawanan liga bagi mengesahkan kejuaraan berkenaan.

“Bagi saya, JDT sering berada pada landasan yang betul untuk memenangi gelaran juara Liga Super kerana kami bermain untuk mengekalkan trofi berkenaan di Johor. Ia adalah matlamat utama.

“Selain itu, kami perlu meraih mata pada setiap perlawanan yang diharungi dan saya pasti pada penghujung saingan liga seperti ini ia bukan suatu tugas yang mudah kerana pasukan-pasukan seperti Selangor, Terengganu dan Kedah akan memberikan cabaran besar kepada JDT.

“Apa pun, kami masih ada baki empat perlawanan dan sudah tentu kami perlu kekal konsisten bagi merealisasikan hasrat memenangi Liga Super musim ini,” katanya.

Pada aksi di Iskandar Puteri tersebut dua jaringan Bergson Da Silva cukup meletakkan kelab selatan tanah air mengukuhkan lagi cengkamannya dengan 45 mata kekal di atas Terengganu FC di tangga kedua carta liga yang mengumpul 37 mata.

Mengulas kemenangan itu, Mora berkata beberapa pertukaran formasi pemain memberikan variasi kepada corak permainan JDT pada perlawanan berkenaan.

Menurut Mora, percaturan meletakkan Bergson Da Silva dan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula ternyata menambahkan sengat di bahagian serangan Harimau Selatan.

Artikel Berkaitan:

“Ternyata pertukaran formasi seperti ini telah berjaya menambahkan sengat di bahagian serangan kami.

“Selain itu, kami juga berjaya mengawal sebahagian besar perlawanan dengan pertukaran formasi yang dilakukan di mana kami juga dapat melakukan serangan menerusi pemain sayap serta pemain tengah," katanya.