Covid-19: Semua daerah di Sabah kini zon merah

Sabah merekodkan 1,247 kes positif Covid-19 hari ini (Isnin), menjadikan jumlah kumulatif kini 95,082 kes.
Sabah merekodkan 1,247 kes positif Covid-19 hari ini (Isnin), menjadikan jumlah kumulatif kini 95,082 kes.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 141 lokaliti di Sabah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) setakat hari ini (9 Ogos), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, daerah Kota Kinabalu merekodkan 24 lokaliti PKPD diikuti Penampang (18); Tawau (17); Keningau (14); Tuaran (11); Beaufort (sembilan); Sandakan (lapan); Sipitang (tujuh); Kudat (lima); Kinabatangan (empat); Papar, Kota Belud, Kunak, Putatan, Ranau, dan Tenom masing-masing tiga; Kota Marudu dan Telupid (dua); serta Tongod dan Beluran masing-masing (satu).

"Dua lokaliti lagi iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung dan PPR Taman Sri Titingan di Tawau juga akan diletakkan di bawah PKPD bermula 11 hingga 24 Ogos.

"Selain itu Kem 2 Tolokoson di Tenom, Kampung Kota Tuaran, Tuaran dan Kampung Sarikan, Nabawan juga diletakkan di bawah PKPD pada Rabu ini selepas penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di kawasan itu oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, daerah Nabawan bertukar dari zon jingga ke zon merah menjadikan semua 27 daerah di negeri itu berada di zon merah.

Dalam pada itu, Sabah merekodkan 1,247 kes positif Covid-19 hari ini (Isnin), menjadikan jumlah kumulatif kini 95,082 kes, dengan 11 kes kematian dilaporkan iaitu tiga di Tawau, masing-masing dua di Tuaran dan Papar serta masing-masing seorang di Kota Marudu, Ranau, Kota Kinabalu dan Penampang. - Bernama

Artikel Berkaitan: