Sultan Johor zahir penghargaan atas bekalan vaksin

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan di atas penambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 untuk negeri ini dalam bulan ini.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, tambahan itu akan mempercepatkan lagi sasaran pencapaian imuniti kelompok di Johor.

"Keadaan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat amat membimbangkan.

"Dengan penambahan dos vaksin ini, kita berupaya melindungi orang ramai serta mempercepat sasaran imuniti kelompok.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas tambahan dua juta dos vaksin kepada Johor," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), pada Isnin.

Pada Ahad, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan tambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 itu meliputi semua jenis vaksin yang sudah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA).

Sumbangan vaksin berkenaan yang dibuat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan diagihkan ke seluruh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di Johor.

Dr Adham dilaporkan berkata, sehingga Ahad, seramai 1,362,398 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Johor manakala 540,895 individu lagi telah menerima suntikan dua dos vaksin.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, sejumlah 50.2 peratus populasi dewasa di Johor sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!