Pulau Pinang bakal terima dos vaksin tambahan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang bakal menerima 210,000 dos vaksin tambahan bagi bulan ini menjadikan jumlah keseluruhan 917,220 dos berbanding 707,220 dos yang diperuntukkan sebelum ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) peringkat Pusat yang dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pagi Isnin.

"Dengan jumlah pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kini, Pulau Pinang memiliki keupayaan untuk melaksanakan 40,000 suntikan dalam tempoh sehari.

"Pulau Pinang wajar diberikan tambahan 500,000 dos seperti yang dinyatakan di dalam surat saya kepada menteri pada 6 Ogos lalu untuk menjadikan jumlah keseluruhan 1.2 juta dos bagi bulan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, tambah beliau dengan peruntukan 917,220 dos yang bakal diperoleh, Pulau Pinang masih mampu mencapai sasaran iaitu 100 peratus populasi dewasa menerima suntikan dos pertama menjelang awal September, sekali gus membolehkan imuniti kelompok dicapai pada tempoh lebih awal.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini memohon pertambahan bekalan vaksin sebanyak 500,000 dos bagi bulan ini untuk menjadikan jumlah keseluruhan dos adalah 1.2 juta dos.

Kon Yeow berkata, permohonan itu dibuat selepas kerajaan negeri dimaklumkan bahawa Pulau Pinang bakal menerima 707,220 dos vaksin (dos pertama dan kedua) pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya, selepas menerima makluman tersebut, beliau telah menghubungi Khairy Jamaluddin untuk permohonan pertambahan bekalan vaksin bagi mencukupkan kepada 1.2 juta dos.

Artikel Berkaitan: