Warga emas ditahan bunuh, kelar isteri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GOPENG - Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar dileher dipercayai dibunuh oleh suaminya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Desa Cahaya, dekat sini pada Isnin.

Mangsa berusia 74 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di bilik tingkat bawah rumah dua tingkat itu oleh cucunya sekitar jam 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, cucu lelaki mangsa berusia 26 tahun memaklumkan telah menerima panggilan daripada datuknya mengatakan bahawa neneknya telah meninggal dunia.

Menurutnya, dengan perkhabaran itu, dia bersama ibu dan adiknya telah pergi ke rumah terbabit dan melihat mangsa sudah tidak sedarkan diri dengan kesan kelar di leher.

"Mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lumpuh separuh badan tinggal berdua bersama suaminya yang berusia 72 tahun di rumah berkenaan.

"Pemeriksaan polis tidak menemui sebarang kesan pecah masuk di tempat kejadian.

"Bagaimanapun pemeriksaan ke atas mangsa menjumpai kesan kelar di bahagian leher, turut ditemui sebilah pisau yang diletakkan di tepi mayat dipercayai digunakan semasa kejadian," katanya.

Beliau berkata, cucu mangsa ketika tiba di rumah itu memberitahu ada menemui datuknya di pintu bilik dan lelaki itu mengatakan bahawa dia juga mahu mati.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis telah menahan suami mangsa itu serta merampas senjata ditemui iaitu sebilah pisau berulu kayu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada Rabu dan setakat ini motif sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.