Kebenaran solat untuk individu lengkap vaksin kembali imarah masjid, surau

Kebenaran solat berjemaah di surau dan masjid untuk individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 berkuat kuasa pada Selasa dapat kembali mengimarahkan tempat ibadah umat Islam di seluruh negara.
Kebenaran solat berjemaah di surau dan masjid untuk individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 berkuat kuasa pada Selasa dapat kembali mengimarahkan tempat ibadah umat Islam di seluruh negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebenaran solat berjemaah di surau dan masjid untuk individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 berkuat kuasa esok (Selasa), 10 Ogos, dapat kembali mengimarahkan tempat ibadah umat Islam di seluruh negara.

Keputusan kerajaan mengutamakan golongan yang telah lengkap divaksin merupakan satu ikhtiar mencegah penularan wabak Covid-19 dalam kalangan jemaah masjid dan surau selain sebagai galakan kepada mereka yang ingin solat berjemaah supaya melengkapkan vaksinasi. Bagaimanapun kemudahan itu masih tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua masjid dan surau Jumaat di negeri itu dibenarkan beroperasi untuk masyarakat awam dengan jumlah kehadiran terhad kepada 30 atau 50 jemaah terawal mulai esok.

“Jemaah yang hadir hendaklah melepasi tempoh 14 hari (dari tarikh) menerima dos kedua suntikan vaksin termasuk pegawai dan Ahli Jawatankuasa masjid serta petugas keselamatan atau sukarelawan. Senarai masjid dan surau Jumaat yang dibenarkan mengikut had jemaah boleh dirujuk melalui saluran rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan," katanya ketika berucap sempena sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran Hijrah Merdeka Online secara dalam talian di Seremban pada Isnin.

Beliau berkata, kebenaran itu selaras dengan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan nasihat serta pandangan Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan dan jabatan kesihatan negeri.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Mat Azmi Arshad pula berkata, kebenaran untuk solat berjemaah tanpa had bilangan mengikut keluasan masjid dan surau di negeri itu telah diberi bermula 8 Julai lepas.

Beliau berkata, individu yang belum divaksin tetap dibenar hadir solat berjemaah di masjid dan surau di Terengganu dengan syarat perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, individu yang belum menerima suntikan dos lengkap dan warga emas yang berisiko adalah dinasihat untuk solat di rumah masing-masing memandangkan penularan Covid-19 varian Delta yang sangat cepat merebak ketika ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Artikel Berkaitan:

Di Kedah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAIK) memaklumkan belum memiliki sebarang ketetapan kelonggaran jemaah yang lengkap menerima vaksinasi dibenar menunaikan solat di masjid seperti pengumuman Perdana Menteri semalam.

Pengarah JHEAIK Mohd Yusri Md Daud berkata, sebarang ketetapan baharu perlu dibincangkan dengan pihak berkaitan terlebih dahulu terutama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah memandangkan kes Covid-19 di negeri itu masih mencatatkan angka lebih 1,000 kes setakat hari ini (Isnin).

Pada masa ini, JHEAIK membenarkan solat fardu dan solat Jumaat di masjid serta surau mulai 9 Julai dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 100 orang (tidak termasuk pegawai dan jawatankuasa masjid) dengan syarat jemaah terpilih sudah menerima suntikan vaksin.

Bagaimanapun, kebenaran kehadiran jemaah dengan jumlah itu hanya membabitkan zon hijau, kuning dan jingga manakala bagi zon merah, kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang juga terdiri daripada mereka yang sudah menerima suntikan vaksin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam pengumumannya semalam, berkata individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah melengkapkan vaksinasinya apabila melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson&Johnson dan CanSino, individu terbabit mestilah melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan untuk diktiraf sebagai telah melengkapkan vaksinasinya.

Kemudahan sama juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat. - Bernama