Sultan Selangor seru umat Islam perbaharui azam sempena Maal Hijrah

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam.
Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru umat Islam memperbaharui azam dan tekad dengan mengubah cara berfikir sempena ketibaan awal Muharam pada Selasa.

Baginda bertitah, umat Islam disaran melakukan sesuatu tindakan ke arah mencapai matlamat kecemerlangan di dalam kehidupan.

Titah Sultan Sharafuddin, bagi memastikan matlamat kecemerlangan itu tercapai, umat Islam perlu mencontohi sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW dengan membuang segala sifat negatif yang ada pada diri.

"Ini termasuklah sifat hasad dengki dan fitnah-memfitnah yang dilakukan antara satu sama lain khususnya di media-media sosial, yang boleh meruntuhkan perpaduan sesama ummah dan memberi kesan yang buruk khususnya kepada generasi akan datang.

"Jauhilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik," titah baginda sempena perutusan Maal Hijrah 1443 Hijrah yang dikeluarkan Istana Alam Shah pada Isnin.

Baginda bertitah, sambutan Maal Hijrah kali ini perlu dihayati dan dirai dengan penuh kesedaran serta kefahaman akan pentingnya penghayatan nilai-nilai murni Islam diterjemahkan kepada setiap aspek kehidupan.

"Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat ALLAH SWT semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat Ilahi, dijauhkan daripada wabak penyakit dan kekal hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera," titah baginda.

Artikel Berkaitan: