Rasuah: Bekas majistret diarah bela diri

Mohamad Amin diperintah membela diri terhadap enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM210,000 daripada seorang peniaga, dua tahun lepas. - Gambar fail Bernama
Mohamad Amin diperintah membela diri terhadap enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM210,000 daripada seorang peniaga, dua tahun lepas. - Gambar fail Bernama
A
A
A

KUANTAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin memerintahkan seorang bekas majistret membela diri terhadap enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM210,000 daripada seorang peniaga, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad Amin Shahul Hamid, 40, setelah mendengar keterangan 15 saksi.

Beliau menetapkan 18 Oktober untuk prosiding membela diri dan 19 November bagi mendengar hujah di akhir kes pembelaan.

Mohamad Amin yang ketika kejadian adalah majistret di Mahkamah Lipis dan Raub didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis serta Raub antara 5 Julai dan 22 Oktober 2019.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer.

Dalam kes berlainan, Ahmad Zamzani menjatuhi hukuman denda RM700,00 atau penjara 12 bulan terhadap bekas pengarah syarikat pembinaan, Lee Teh Hok, 66, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengemukakan dokumen palsu berhubung projek menaik taraf jalan di Bera pada tujuh tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Teh Hok sebagai Pengarah Syarikat Kayangan Kemas Sdn Bhd didakwa telah menggunakan dokumen Senarai Kuantiti Projek Menaik Taraf Jalan FT 1510 Seksyen 1-18 Kawasan Parlimen Bera yang diketahuinya palsu.

Tertuduh yang diwakili peguam Lim Kon Keen didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Kerja Raya Daerah Bera sekitar April 2014 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. - Bernama