Edar dadah: Dua wanita terlepas tali gantung

Dua wanita terlepas tali gantung selepas mahkamah mengurangkan pertuduhan daripada mengedar kepada memiliki 249.9 gram heroin.
Dua wanita terlepas tali gantung selepas mahkamah mengurangkan pertuduhan daripada mengedar kepada memiliki 249.9 gram heroin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua wanita terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin mengurangkan pertuduhan terhadap mereka daripada mengedar kepada memiliki 249.9 gram dadah jenis heroin.

Zawani Zulkifli yang merupakan seorang penganggur kemudian dijatuhi hukuman penjara 15 tahun, manakala Nur Zahirah Yusoff, seorang bekas ejen tiket bas dihukum penjara 13 tahun yang berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 18 Disember 2016.

Hakim Datuk Suraya Othman yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, terdapat perbezaan dalam tempoh hukuman penjara kedua-dua tertuduh kerana Zawani memiliki rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, kedua-dua wanita bernasib baik kerana pendakwaan menawarkan untuk mengurangkan pertuduhan terhadap mereka, jika tidak mereka terpaksa berdepan hukuman mati.

Suraya juga berharap mereka akan bertaubat dan berubah selepas dibebaskan dari penjara.

Turut bersidang ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Ghazali Cha.

Terdahulu, Zawani dan Nur Zahirah yang merupakan rakan serta berusia 34 tahun sebelum ini disabitkan dengan kesalahan memiliki dadah selepas mereka menerima tawaran pengurangan pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad.

Kedua-dua wanita mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2019 selepas mendapati mereka bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah unit di kondominium Park View Tower, Jalan Harbour Place, Butterworth, Pulau Pinang pada 4.45 petang 18 Disember 2016.

Artikel Berkaitan:

Ketika merayu hukuman ringan, peguam Mohamad Hafiz Jalaludin yang mewakili Zawani dengan dibantu oleh Mohd Izhar Ahmad Azmi, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum.

Peguam K Simon Murali pula berkata, anak guamnya Nur Zahirah tidak memiliki sabitan lampau dan tertuduh berasal daripada keluarga yang porak-peranda serta telah terpengaruh dengan rakan. - Bernama