PKPD Pulau Pangkor: Nelayan tidak dibenar turun ke laut

Nor Omar (kiri) memeriksa kawad duri yang dipasang di laluan PKPD.
Nor Omar (kiri) memeriksa kawad duri yang dipasang di laluan PKPD.
A
A
A

LUMUT - Nelayan di enam lokaliti di Pulau Pangkor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan turun ke laut untuk menangkap ikan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner, Nor Omar Sappi berkata, pihaknya akan melakukan kawalan ketat di kawasan itu termasuk mendapatkan bantuan rondaan Pasukan Polis Marin di sepanjang perairan Pangkor.

"Kumpulan nelayan di sini diingatkan supaya tidak curi keluar ke laut untuk menangkap ikan.

"Pemantauan akan dilakukan dan dua bot Polis Marin digerakkan untuk melakukan rondaan secara berkala di laut bagi mengekang jika ada penduduk cuba keluar atau menangkap ikan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke lokasi PKPD di situ pada Isnin.

Enam lokaliti dikenakan PKPD adalah Taman Seri Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Ladang Kong Heap Lee, Kampung Tengah, Flat Taman Desa Pangkor dan Taman Desa Pangkor.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di enam lokaliti itu membabitkan 780 rumah dan 2,252 penduduk dengan 70 peratus daripada mereka adalah nelayan.

Pihaknya sedar, pelaksanaan PKPD itu memberi kesan kepada penduduk kerana tidak dapat keluar ke laut, namun mereka diminta bersabar dan memberi kerjasama dalam tempoh tersebut bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Bantuan (makanan) akan disalurkan kepada penduduk dan setakat hari ini tahap pematuhan penduduk adalah baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Nor Omar berkata, seramai 63 anggota membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan bertugas sepanjang PKPD berlangsung.

“Kita juga sudah mengenal pasti 16 laluan tikus di semua lokaliti berkenaan dengan tujuh kawasan dipasang kawad duri manakala sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di laluan utama iaitu di Jalan Haji Hussien,” katanya.