Tengku Azlan keluar Bersatu, kembali ke pangkuan UMNO

Tengku Azlan menyerahkan borang permohonan untuk kembali menyertai UMNO kepada Wan Rosdy pada Isnin. - Foto Pahangku Media
Tengku Azlan menyerahkan borang permohonan untuk kembali menyertai UMNO kepada Wan Rosdy pada Isnin. - Foto Pahangku Media
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Temerloh, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar meletak jawatan daripada parti berkenan serta-merta dan mengumumkan kembali ke pangkuan UMNO.

Menurut laporan UMNO Online, bekas Ahli Parlimen Jerantut itu menyerahkan borang permohonannya melalui UMNO Bahagian Paya Besar kepada Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Azlan berkata, keputusan kembali ke pangkuan UMNO adalah kerana beliau yakin dan percaya parti itu menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam.

“Saya mengambil kesempatan menyerahkan borang keahlian hari ini dan memilih untuk menjadi ahli UMNO Bahagian Paya Besar.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua UMNO Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman atas kesudian menerima saya sebagai ahli UMNO Bahagian Paya Besar,” katanya.

Tengku Azlan juga menyokong penuh pendirian Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang dalam isu perlembagaan baru-baru ini yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negara ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semestinya mempertahankan perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik.

“Kita seharusnya mendukung demokrasi berparlimen dan juga Raja Berperlembagaan yang termaktlub dalam Rukun Negara kerana perlembagaan negara adalah institusi tertinggi dalam negara kita,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Tengku Azlan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal bermula tahun 1999 hingga 2013.

Beliau kemudian menyertai Bersatu dan dipilih sebagai Ketua Bahagian Bersatu Temerloh ketika pemilihan parti pada tahun lalu.