Kesal program vaksinasi warga asing tidak ikut SOP

Program vaksinasi kepada warga asing di Klinik Desa Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam pada Isnin tidak mengikut SOP ditetapkan. Gambar kecil:Rizam Ismail
Program vaksinasi kepada warga asing di Klinik Desa Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam pada Isnin tidak mengikut SOP ditetapkan. Gambar kecil:Rizam Ismail
A
A
A

SABAK BERNAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail meluahkan rasa kesal dengan tindakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam yang menjalankan program vaksinasi kepada warga asing di Klinik Desa Kampung Tebuk Mufrad, di sini tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, program itu diadakan tanpa perbincangan awal bersama pemimpin tempatan mahu pun agensi kerajaan dalam memastikan pelaksanaan SOP sentiasa dipatuhi sepanjang program penvaksinan.

Menurut beliau, sepatutnya pada Isnin, klinik itu dibuka hanya untuk suntikan kedua tetapi telah dibuka permohonan untuk vaksin kepada warga asing.

"Saya benar-benar kecewa dengan situasi yang berlaku dan tindakan PKD Sabak Bernam itu mengundang risiko bahaya kepada kakitangan dan petugas sukarelawan yang membantu mereka hari ini.

"Saya juga menerima aduan daripada penduduk kampung, mereka hairan bagaimana program vaksin hari ini dihadiri oleh pekerja asing sedangkan kawasan klinik desa ini ruangnya sangat terhad dan sempit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rizam yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, beliau tidak menghalang program vaksinasi tetapi kecewa apabila program tidak dibincangkan dahulu dengan pihak berwajib mahupun pemimpin tempatan.

"Saya berharap perkara ini tidak berlaku lagi dan segala urusan melibatkan program vaksinasi ini hendaklah dimaklum awal bagi memastikan SOP dan pergerakan program berjalan lancar.

"Kita sedaya upaya memastikan tiada kluster baharu di tempat pemberian vaksin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pihaknya telah membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Menteri Besar.