Geng Ameng pecah rumah, hotel tumpas

Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan barang yang dirampas selepas berjaya menumpaskan Geng Ameng.
Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan barang yang dirampas selepas berjaya menumpaskan Geng Ameng.
A
A
A

KUALA LANGAT - Polis berjaya menumpaskan Geng Ameng yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan hotel di sekitar Banting selepas menahan tiga lelaki dipercayai ahli geng tersebut pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 20-an itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah, curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah.

"Kumpulan ini diketuai oleh lelaki tempatan bernama Ameng dan selepas tertangkapnya tiga suspek ini kami percaya dapat menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan hotel di sekitar Banting," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Ahmad Ridhwan, polis turut merampas sebilah parang dan beberapa barang termasuk tiga buah unit kompresor penyaman udara, tiga buah penyaman udara, tiga buah alat kawalan jauh, sebuah alat pembesar suara dan tiga buah televisyen.

"Polis turut merampas beberapa jenis dadah iaitu lapan paket syabu,10 biji pil eramin five dan enam peket ganja," ujar beliau.

Jelas beliau, semua suspek direman selama empat hari di Balai Polis Banting dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan 457 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama katanya, kes itu akan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: