Pentadbiran tak terjejas walau berlaku kemelut politik: Cuepacs

Adnan Mat - Foto Sinar harian
Adnan Mat - Foto Sinar harian
A
A
A

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi jaminan jentera pentadbiran kerajaan tidak akan terjejas dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat walaupun berlakunya kemelut politik ketika ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, sistem pentadbiran kerajaan pada dasarnya adalah terasing dengan sistem politik kepartian dan tidak akan terkesan dengan situasi semasa politik negara.

“Tahap profesionalisme warga penjawat awam adalah begitu tinggi kerana kami semua telah berikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Walau apa jua tekanan dan cabaran yang dihadapi ketika ini, Cuepacs yakin penjawat awam mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa dipengaruhi situasi politik semasa,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Adnan menambah, Cuepacs turut yakin dengan kemampuan dan kebijaksanaan penjawat awam khususnya semua ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua jabatan untuk terus berkhidmat secara profesional bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus cemerlang dan tidak terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Rasah terima mesej 'PM kirim salam'

“Walaupun berlaku peletakan jawatan menteri melibatkan beberapa kementerian, semua ketua setiausaha dan ketua jabatan dapat memberikan fokus dalam melaksanakan agenda yang telah ditetapkan bagi memberi perkhidmatan yang terus cemerlang kepada rakyat.

“Sebagai penjawat awam yang profesional dan neutral, kita tidak boleh dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang akan memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam masa yang sama turut berharap semua pemimpin parti politik dapat mencari titik persefahaman agar negara kembali stabil dan pulih sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Seluruh rakyat dan pentadbiran kerajaan ketika ini sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan tumpuan perlu diberikan terhadap usaha mengekang penularan wabak serta pemulihan semula ekonomi negara.

“Titik persefahaman yang utama adalah dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam apa jua tindak-tanduk agar tidak memberi kesan yang begitu ketara,” jelasnya.